top of page
Writer's pictureMYB

Drama 'Suamiku Lelaki Pendosa' Isi Slot Samarinda TV3

Hidup Cahaya Malaika bertukar sekelip mata selepas rahsia identitinya terbongkar. Dia diputuskan pertunangan dan dihina sebagai anak tak sah taraf. Tidak lama kemudian, Cahaya Malaika dipertemukan dengan Dean Ilyas, lelaki yang serba sempurna dan miliki segala-galanya, malah dia juga ikhlas menerima Cahaya seadanya sebagai suri hatinya. Namun, bahagiakah Cahaya Malaika selepas mengetahui agenda sebenar di sebaliknya?



Suamiku Lelaki Pendosa, drama adaptasi novel ‘Imamku Lelaki Pendosa’ karya Umie Nadzimah telah menemui penonton TV3 menerusi slot Samarinda bermula 9 Februari 2022, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 10.00 malam.


Drama bersiri 28 episod ini merupakan terbitan Global Station Sdn Bhd, diarahkan oleh Eyra Rahman, nukilan skrip oleh Eenaz Mokhtar, Siti Jasmina dan Ctna Marzuki menampilkan pelakon - pelakon handalan iaitu Dato’ Aaron Aziz, Sophia Al Barakbah, Shima Anuar, Fauzi Nawawi, Gambit Saifullah, Aleza Shadan, Maria Farida, Edika Yusof, Hafeez Mikail, Anne Abdullah, Michael Lean, Ungku Hariz, dan ramai lagi.


Cahaya Malaika (Sophia AlBarakbah) dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh Encik Firdaus (Fauzi Nawawi) dan Puan Wahidah (Aleza Shadan). Cahaya sangat rapat dengan kakaknya, Anggun Dania (Shima Anuar). Cahaya bertunang dengan lelaki pilihannya, Nik Safri (Kael).


Malangnya pertunangan mereka diputuskan selepas rahsia identiti Cahaya terbongkar. Malahan, Cahaya juga dihina oleh Nik Safri sebagai anak tak sah taraf. Sehubungan itu, hubungan Anggun dan Dahlia dengan ibu mereka juga menjadi renggang. Cahaya masih boleh berlapang dada dan berusaha untuk menerima takdirnya. Dia juga memujuk dan memberi semangat kepada ibunya yang sedang bermurung.


Tidak lama kemudian, Cahaya dipertemukan dengan Dean Ilyas (Dato’ Aaron Aziz) yang bertindak sebagai hero untuk menyelamatkan Cahaya daripada terus disakiti oleh Nik Safri di kedai makan. Dean merupakan lelaki yang berbudi bahasa dan mempunyai aura tersendiri. Mereka berdua bertemu lagi ketika menemani orang tua ke sebuah majlis reunion. Ibu Dean, Datin Junaidah (Maria Farida) terus berkenan dengan anak sahabatnya dan bersungguh-sungguh untuk menyunting Cahaya sebagai menantu.



Cahaya berterus-terang tentang statusnya kepada Dean kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Dean sangat ikhlas dan bersedia menerima Cahaya seadanya. Dia juga bersetuju akan merahsiakan hal ini daripada pengetahuan keluarganya. Oleh itu, Cahaya bersetuju dengan lamaran daripada Dean.


Majlis perkahwinan Dean dan Cahaya bakal dilangsungkan oleh Datin Junaidah. Ketika kedua-dua keluarga gembira dengan penyatuan Dean dan Cahaya, kawan baik Dean iaitu Izfairin (Gambit Saifullah) tidak bersetuju dengan pilihan Dean.


Selepas kahwin, pelbagai dugaan mula datang menguji. Cahaya yang dipergunakan oleh Datin Junaidah untuk menyelamatkan maruah keluarga dan egonya akhirnya bakal berhadapan dengan sejarah hitam Dean yang disimpan rapi.

Apakah yang bakal berlaku seterusnya? Adakah Cahaya dapat menerima dan memaafkan suaminya? Jangan ketinggalan untuk terus menyaksikan Suamiku Lelaki Pendosa yang penuh dengan emosi dan konflik pada setiap hari Isnin hingga Khamis, 10.00 malam menerusi slot Samarinda di TV3.


Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page