Petaling Jaya - Suria FM dengan kerjasama YAYA Empire Perfume melancarkan drama raya terbaharu mereka yang berjudul "Hayati" pada hari ini. Drama bergenre 'Psikologi Emosional Raya' ini merupakan usaha terbesar setakat ini dalam sejarah penerbitan drama raya oleh Suria FM sejak 2019.

Drama berdurasi 40 minit ini membawa penonton meneroka isu kesihatan mental melalui kisah beberapa individu yang terjejas akibat kemalangan tragis pada malam raya. Perjalanan penyembuhan yang dipaparkan menunjukkan konflik dalaman yang mendalam apabila watak-watak cuba menghadapi perasaan bersalah, mencari keampunan diri, dan akhirnya menemui harapan baharu.
Drama ini menampilkan barisan pelakon popular seperti Sherie Merlis, Hasnul Rahmat, Cik Man, Anas Ridzuan dan Hawra Jamalullail. Turut tampil adalah penyanyi Ara Johari, Adam ZBP, pempengaruh Mia Azahar dan kemunculan khas pengasas Yaya Empire Perfume, Puan Nadia Mat Isa.
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, drama "Hayati" merupakan projek terbesar yang pernah dihasilkan Suria FM dari segi skala dan tempoh penggambaran. Proses penghasilan skrip telah bermula sejak September 2024 dan mendapat persetujuan YAYA Empire pada November tahun lalu.
"Penggambaran drama ini berlangsung selama tujuh hari di sekitar Lembah Klang, dengan kebanyakan babak dirakam pada waktu malam hingga awal pagi. Babak melibatkan bas menjadi antara cabaran terbesar yang memerlukan masa tiga hari untuk diselesaikan," jelasnya.

Pengasas Yaya Empire Perfume, Puan Nadia Mat Isa menyatakan "Sebagai seorang yang amat menghargai nilai seni dan budaya, saya tertarik untuk bekerjasama dengan Suria FM kerana komitmen mereka dalam menyampaikan hiburan berkualiti yang sarat dengan nilai-murni."
"Saya berharap drama ini bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memberi impak mendalam kepada penonton dengan mesej kekeluargaan, emosi, kehilangan dan kasih sayang yang sinonim dengan Hari Raya", tambah Nadia.
Drama "Hayati" ini juga menampilkan lagu "Pentas Sandiwara" oleh artis Fugo sebagai lagu rasmi. Muzik video khas lagu ini turut dihasilkan dengan menampilkan babak-babak daripada drama berkenaan.
Orang ramai dijemput untuk menonton drama "Hayati" di platform digital Suria FM, termasuk Facebook Suria FM dan YouTube Suria TV, bermula jam 12 tengahari pada Khamis, 20 Mac 2025. Untuk maklumat lanjut, layari laman web Suria di suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia.
Comments