Malam gala tayangan perdana filem animasi terbaharu Les' Copaque Production, "Dongeng Sang Kancil", berlansung malam semalam di TGV Suria KLCC dalam suasana penuh meriah bertemakan haiwan rimba. Filem yang dinanti-nantikan ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam industri animasi tempatan dengan penggunaan teknologi hibrid 3D dan kesan khas 2D yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Studio animasi yang terkenal dengan kejayaan "Upin & Ipin" ini telah berjaya menghasilkan sebuah karya yang mengimbau kembali nostalgia cerita rakyat Sang Kancil dalam bentuk yang lebih segar dan kontemporari. Dengan tempoh penghasilan hanya setahun setengah berbanding perancangan asal dua tahun, filem ini membuktikan kehebatan bakat-bakat tempatan dalam industri animasi Malaysia.
Filem berdurasi 90 minit ini menampilkan jajaran pelakon suara yang mengagumkan, termasuk Nini Razali yang kembali sebagai suara Sang Kancil, serta penampilan istimewa penyanyi popular Amir Masdi sebagai Harimau Kumbang. Amir turut menyumbang dua buah lagu untuk filem ini.
Dongeng Sang Kancil mencipta sejarah sebagai filem animasi tempatan pertama yang menggunakan teknologi Dolby Atmos Finas dan teknik 2.5D yang menggabungkan animasi tradisional dengan teknologi moden. Setiap babak memerlukan purata 50 lapisan rendering, lima kali ganda berbanding siri Upin & Ipin.
"Kami mahu membawakan Sang Kancil dalam wajah yang baharu, tetapi masih mengekalkan elemen kepintaran dan kebijaksanaan yang sinonim dengan watak ini," jelas Haji Burhanuddin Md. Radzi, Penerbit Eksekutif merangkap Pengasas Les' Copaque Production. "Kali ini, Sang Kancil bukan sekadar watak yang bijak, tetapi tampil sebagai wira yang membela kebenaran."
Filem yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 26 Disember ini menjanjikan pengalaman sinematik yang menarik untuk seisi keluarga. Ia mengisahkan pengembaraan Sang Kancil yang mencari keadilan atas kematian ibunya sambil berhadapan dengan cabaran dari tiga penguasa hutan - Helang Perkasa, Gajah Belukar, dan Raja Buaya.
Dengan sokongan Astro Shaw sebagai pengedar, Dongeng Sang Kancil dijangka akan menjadi satu lagi kejayaan besar Les' Copaque Production dalam mengangkat mutu animasi tempatan ke tahap yang lebih tinggi, sekaligus membuktikan Malaysia mampu menghasilkan karya animasi bertaraf dunia.
Comments