Raja Hip Hop Malaysia, Joe Flizzow, sekali lagi membuktikan kepelbagaian bakatnya apabila dokumentari 'This is Johan: A BikinSampaiJadi Story' berjaya merangkul dua Anugerah Emas yang berprestij di Anugerah Kancil 2024, yang berlangsung pada 22 November lalu.
Berbeza dengan trofi-trofi muzik yang pernah dimenanginya sebelum ini, termasuk MTV EMA, kemenangan di Anugerah Kancil kali ini membawa makna yang lebih mendalam buat Joe. Sebagai bekas graduan bidang pengiklanan, beliau mengakui bahawa Anugerah Kancil sememangnya menjadi impian setiap pengamal industri pengiklanan di Malaysia.
"Saya amat berbangga dan gembira untuk keseluruhan pasukan. Trofi ini akan saya letakkan di sebelah trofi MTV EMA dan anugerah lain yang pernah saya peroleh dalam bidang muzik sebelum ini," kata Joe yang kini memegang jawatan Pengarah Urusan Def Jam SEA.
Dokumentari yang menang dalam kategori Filem Fiksyen dan Bukan Fiksyen (5 minit ke atas) serta Pempengaruh dan Kolaborasi ini merupakan hasil kerjasama Mojo Films, Maxis, Universal Music Malaysia dan Publicis Groupe Malaysia. Yang menariknya, ia merupakan dokumentari Hip-Hop Malaysia yang pertama, hasil daripada 400 jam temubual bersama rakan muzik, keluarga dan Joe sendiri.
Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia (UMM) turut memuji kebolehan Joe yang kekal relevan dalam kalangan generasi muda. "Joe Flizzow adalah satu daripada pelopor industri yang berjaya mengekalkan populariti dalam kalangan Gen Z. Menerusi projek ini, beliau berkongsi kisah peribadi yang membuka ruang untuk Gen Z dapat menyelami lagi dirinya."
Dokumentari yang kini boleh ditonton di platform Viu Malaysia ini bukan sahaja mengisahkan kejayaan Joe, malah turut mendedahkan saat-saat mencabar dalam kerjayanya dan bagaimana beliau bangkit semula. Hasilnya cukup memberangsangkan apabila ia mencapai 3.9 juta tontonan dan mencatatkan kadar penglibatan 400% lebih tinggi berbanding purata kandungan berjenama di Viu.
Kejayaan ini sekali lagi membuktikan bahawa Joe Flizzow bukan sekadar seorang penyanyi rap, tetapi seorang ikon industri kreatif yang terus mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang.
コメント