top of page
Writer's pictureMYB

Dekorasi Replika Burung Merak Dan Hiasan Kolam Gergasi Warnai Sambutan Deepavali Di Suria KLCC

Suria KLCC, destinasi membeli-belah terkenal di Kuala Lumpur, menghangatkan lagi sambutan perayaan Deepavali yang akan diraikan oleh semua penganut Hindu di seluruh Malaysia pada 12 November ini dengan dekorasi indah dan mempesonakan yang bertemakan 'Pesona Taman Cahaya' .


Keindahan dekorasi 'Pesona Taman Cahaya' menghangatkan lagi kemeriahan sambutan Deepavali di Suria KLCC

Bermula dari 3 hingga 15 November ini, pengunjung yang datang ke Suria KLCC akan disajikan dengan keindahan dekorasi seolah-olah melangkah ke dunia penuh magis. Suria KLCC berubah menjadi taman penuh warna-warni yang dihiasi dengan buaian yang cantik dan dipenuhi dengan bunga-bungaan, memberikan suasana yang luar biasa kepada pengunjung untuk merakam detik-detik yang menggembirakan dan diabadikan sebagai memori indah.


Melangkah ke bahagian tengah ruang legar Suria KLCC , pengunjung akan dapat menyaksikan hiasan 'Kolam' atau hiasan warna-warni yang diperbuat dari beras berwarna yang begitu sinonim tatkala Deepavali datang menjelma. Bersempena dengan sambutan Pesta Cahaya tahun ini, Suria KLCC menjelmakan hiasan Kolam Deepavali dengan keluasan 20 kaki menghiasi indah lantai di ruang tengah pusat belah itu.


Bukan itu sahaja , pengunjung turut akan berasa kagum melihat 2 replika burung merak setinggi tujuh kaki berdiri megah dengan ekor bercahaya secara interaktif, memanjang sehingga 32 kaki, menghiasi kawasan di sekeliling bahagian tengah. Kedua-dua replika berseni ini, diperbuat daripada bunga tiruan dan beras berwarna, menghidupkan kemegahan dan kehebatan haiwan bertuah ini.


Kesemua persediaan penuh warna-warni dan menarik ini dilengkapi dengan pencahayaan dan kesan bunyi yang menakjubkan, mencipta pengalaman multideria untuk pembeli-belah dan menghidupkan semangat perayaan cahaya.


Hujung minggu menjelang Deepavali , pengunjung di Suria KLCC akan dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional India yang menawan di ruangan Centre Court. Selain itu, muzik bertemakan sambutan Deepavali turut dimainkan di seluruh pusat membeli-belah, bagi menghangatkan suasana menjelang hari perayaan.


GALERI


Andrew Brien, Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, menyatakan, "Deepavali ialah waktu yang amat bermakna, melambangkan kejayaan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, dan pengetahuan mengatasi kejahilan. Di Suria KLCC, kami bukan sahaja komited untuk menawarkan pengalaman membeli-belah perayaan yang tidak dapat dilupakan, tetapi juga budaya yang memupuk rasa perhubungan dan persefahaman yang lebih mendalam dalam komuniti kami."


Menambahkan kegirangan kepada sambutan kempen Deepavali tahun ini, pembeli yang membuat pembelian berjumlah RM600 atau lebih dalam dua resit di mana-mana kedai khusus akan diberi ganjaran e-baucar RM50 Suria KLCC.


Sementara itu, sambutan Deepavali di Alamanda Putrajaya bermula pada 28 Oktober dan akan berakhir pada 13 November 2023. Pengunjung di Alamanda akan dapat melihat transformasi yang ketara, dipenuhi dengan hiasan yang meriah, termasuk kolam berwarna-warni yang diterangi cahaya.


Ganjaran menarik turut disediakan untuk semua pengunjung sebagai menambah keseronokan menjelang sambutan Deepavali. Bagi mereka yang membelanjakan RM300 dan ke atas dalam dua resit di mana-mana kedai khusus, akan menerima baucar beli-belah Alamanda bernilai RM30.


Kegirangan samabutan Deepavali di teruskan di Mesra Mall, Kemaman. Bermula dari 8 hingga 19 November, pusat beli-belah tersebut akan dihiasi dengan hiasan Deepavali penuh warna warni. Reka bentuk ‘kolam’, yang dihasilkan daripada tepung beras kering, menambah sentuhan penuh kreativiti. Unsur-unsur lain yang menjadi ciri perayaan Deepavali, seperti burung merak dan saree turut dipamerkan , melahir dan menyemarakkan semangat serta suasana musim perayaan.

0 komen

Comments


bottom of page