Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengukir detik bermakna dalam kerjaya seninya apabila melancarkan single terbaharunya bertajuk 'Sejarah' secara rasmi di The Roomah, Solaris Dutamas, petang tadi.
Single yang dilancarkan sempena sambutan 30 tahun penglibatan beliau dalam industri muzik ini merupakan hasil kolaborasi istimewa bersama komposer tersohor Indonesia, Erwin Gutawa dan penulisan lirik oleh anaknya, Gita Gutawa.
"Saya amat terharu dengan hasil karya ini kerana ia benar-benar menyentuh emosi saya. Setiap kali menyanyikannya, ia seperti membawa saya kembali melalui setiap fasa perjalanan seni yang telah saya lalui," kata Siti yang meminta sendiri Erwin menghasilkan lagu yang menggambarkan perjalanan seninya.
Erwin Gutawa mengakui bahawa 'Sejarah' dicipta khas untuk Siti dengan mengambil inspirasi daripada keindahan suara dan personaliti penyanyi tersebut. Lebih membanggakan, alunan muzik lagu ini diiringi oleh Czech Symphony Orchestra yang menambah nilai keistimewaannya.
Proses rakaman vokal yang dikendalikan oleh Aubrey Suwito di Kuala Lumpur telah menghasilkan sebuah karya yang menakjubkan. Single terbitan SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Sdn Bhd ini telah boleh dinikmati di semua platform digital sejak 14 November lalu.
Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan sesi penghargaan khas kepada wakil media yang telah menyokong perjalanan kerjaya Siti sejak awal kariernya. Universal Music turut menyampaikan plak penghargaan kepada Siti sempena penganugerahan gelaran biduanita negara dan pelancaran 'Sejarah'.
'Sejarah' merupakan hadiah istimewa daripada Siti kepada peminatnya menjelang penghujung tahun 2024, selepas beliau sibuk mengadakan beberapa siri konsert sepanjang tahun ini.
Comments