Penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Sri Siti Nurhaliza Tarudin, telah dianugerahkan gelaran Biduanita Negara pada Anugerah Seni Negara 2024 yang berlangsung semalam. Gelaran ini disampaikan oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia, dalam satu majlis yang penuh gilang-gemilang anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Pengiktirafan ini menjadikan Siti Nurhaliza sebagai individu ketiga yang menerima gelaran tersebut, selepas Puan Sri Saloma pada tahun 1978 dan Datuk Sharifah Aini pada tahun 2006. Gelaran Biduanita Negara diberikan sebagai penghargaan tertinggi kepada artis yang telah memberikan sumbangan besar dalam bidang seni dan budaya negara.
Dalam satu kenyataan di Instagramnya, Siti Nurhaliza menyatakan bahawa anugerah ini bukan sahaja pengiktirafan terhadap pencapaiannya dalam industri muzik, tetapi juga sebagai simbol penghargaan kepada semua artis yang terus memperjuangkan keindahan budaya dan muzik Malaysia.
“Penghormatan dan kepercayaan ini adalah tanggungjawab untuk saya terus memperjuangkan seni dan budaya, khususnya dalam bidang muzik, agar terus bersinar dan berkembang,” katanya.
Siti Nurhaliza turut mengucapkan syukur dan terima kasih kepada Allah SWT, kerajaan, MOTAC, dan Kementerian Komunikasi atas anugerah ini. Beliau juga berterima kasih kepada peminatnya yang sentiasa menyokong kerjayanya selama ini.
Dengan hampir tiga dekad dalam industri seni, Siti Nurhaliza telah mencipta pelbagai kejayaan dan menerima pelbagai anugerah, menjadikannya ikon muzik yang dihormati di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.
Tahniah kepada Datuk Sri Siti Nurhaliza atas pencapaian yang luar biasa ini!
Kommentare