top of page
Writer's pictureMYB

Daqmie Lebar Sayap Perniagaan Teksil, Lancar Koleksi PENDETA

Nama Daqmie atau Azmee Manap, 51, tidak perlu diperkenalkan lagi kerana ramai telah sedia maklum profesi beliau di dalam industri sebagai seorang penyanyi, penulis lirik, komposer, penerbit rakaman, penata bunyi serta guru vokal. Boleh dikatakan kerja-kerja yang melibatkan muzik baik di pentas atau belakang tabir, Daqmie mampu melakukannya.


Terbaru, Daqmie yang mula aktif seni sejak 1989 cuba mengatur langkah untuk menceburi bidang perniagaan tekstil pula. Sebenarnya hasrat untuk menjadi usahawan sudah lama terpendam, cuma Daqmie belum temui orang yang sesuai untuk membimbingnya dalam bidang tersebut.


Daqmie
Daqmie bersama model yang memperagakan koleksi kurta Eco Batiq dan seluar PENDETA

Daqmie ditemui media sewaktu majlis pelancaran Koleksi Kurta Eco Batiq dan seluar PENDETA baru-baru ini bertempat di Setia Avenue, Setia Alam, Shah Alam memberitahu pelawaan yang dibuat oleh Datuk Asfarena Samion kepada Daqmie tidak dapat ditolak kerana wanita tersebut adalah rakan baiknya. Selain itu, beliau yakin dengan kepakaran Datuk Asfarena.


“Saya dengan Datuk Asfarena adalah kawan baik. Dia yang ajak saya untuk buat bisnes tekstil ini. Sebab itu saya berani buat dan yakin kerana Datuk Asfarena ini memang pakar dalam apa yang dilakukannya.


“Dia adalah Pengarah Kreatif dan pereka fesyen teknikal yang disegani dan mempunyai rangkaian perniagaan yang kukuh. Sebagai pemilik Secret Modest yang cemerlang dalam menghasilkan pelbagai jenis pakaian, saya yakin dapat belajar dan mengembangkan perniagaan saya yang bergerak di bawah syarikat A&T Brilliant Sdn. Bhd.,” kata Daqmie.


Jelasnya, apa yang dia buat sekarang adalah untuk membangunkan produk kerana untuk terlibat dalam perniagaan tekstil perlu ada rangkaian bisnes yang panjang. Ini kerana tegas Daqmie, dia bukan nak buat dan jual baju saja tapi lebih kepada cerita. Cerita bagaimana dan kenapa sesebuah koleksi tersebut dihasilkan.


Selaku Ketua Pegawai Eksekutif A&T Brilliant, Daqmie berkata, syarikat yang ditubuhkan bersama seorang rakan kongsi itu, untuk permulaan akan mengeluarkan koleksi yang mengetengahkan Kurta potongan longgar dan Seluar berlipat pelekat bahagian hadapan Teknik potongan lama untuk lelaki di bawah jenama Pendeta By Daqmie.


“Sekarang ini untuk produk awal, saya tekankan kepada Eco Batiq punya produk. Elemen warna dan sumber daripada kayu-kayu dan daun adalah motifnya. Pola seluar PENDETA ini saya sudah simpan lama untuk dibuat. Rekaannya, dari depan nampak macam kain tapi sebenarnya seluar.


Pelawaan (kiri) Datuk Asfarena Samion kepada (kanan) Daqmie membawa kepada kelahiran koleksi PENDETA
“Buat masa sekarang kita buat untuk koleksi pakaian lelaki saja dulu, lepas ini akan menyusul jubah, baju perempuan dan kemungkinan besar baju kanak-kanak juga,” jelasnya yang mendapat ilham menghasilkan seluar PENDETA sewaktu berada di Mesir.
Bila saya pakai seluar itu mesti ada yang tanya dan nak tahu siapa yang buat. Saya katalah, saya yang buat sendiri dan mereka tanya tak nak jual ke? Saya kata nak jual tapi tunggu dulu. Sebabnya saya nak jual cerita.

“Setiap produk PENDETA akan ada jalan ceritanya. Kalau kita buat seluar ini, kenapa kita buat seluar tersebut. Kalau kita buat baju itu kenapa ia dihasilkan.


“Daripada produk itu barulah saya boleh kaitkan dengan kerja seni saya, kalau tidak macam mana saya nak buat kerana setiap produk ada jalan cerita dan saya boleh buat lirik dan lagu,” jelasnya tentang pola seluar produk jenama Pendeta By Daqmie yang telah dipatenkan bagi memudahkan urusan perniagaan.


Tambah Daqmie, seluar jenama PENDETA yang mudah (selesa) untuk solat dan tampak cantik dipadankan dengan kasut sukan, capal atau kasut biasa itu akan dijual secara eksklusif di platform atas talian Secret Modest.


Untuk makluman, perkataan PENDETA menjadi pilihan Daqmie untuk jenama pakaian keluaran A&T Brilliant kerana nama PENDETA diberi oleh arwah bapa kepadanya.


“Nama PENDETA ini bapa saya yang bagi nama dan itu adalah nickname saya dalam keluarga saya. Arwah bapa pernah cakap, esok satu hari kamu akan dapat keluarkan satu benda ini tapi dalam bentuk arts.


“Bagi saya, nama PENDETA itu sangat unik kerana ia membawa maksud pemikir dan ia bercerita tentang bagaimana sesuatu perkara itu berlaku. Untuk logo PENDETA pula saya memilih tanjak kerana saya adalah orang yang memulakan pemakaian tanjak dari tahun 2014 untuk acara dan majlis yang saya hadiri,” katanya yang akan keluarkan baju dan seluar dari saiz S hingga XXL.



Untuk keluaran pertama, pakaian yang dikeluarkan A&T Brilliant merupakan koleksi Kurta Eco Batiq. Menariknya, pembeli boleh membeli sepasang pakaian tersebut atau memilih untuk memiliki salah satu daripadanya dengan melayari laman sesawang secretmodest.my


Daqmie berharap beliau dapat memperkenalkan jenama PENDETA seperti jenama lain yang sedia ada. Dia juga mahu menjadi salah seorang pengeluar tekstil yang ada nama sendiri.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page