top of page
Writer's pictureMYB

Dakwah ZAWFAN Dalam Alunan Minimalis Irama Paluan Kompang Dan Gendangan Perkusi

ZAWFAN merupakan sebuah kumpulan nasyid yang ditubuhkan pada 2020 oleh tiga pejuang irama nasyid terdiri dari Yasir Tamizi, Fadzli Radzi dan Hafiz Tamizi yang juga merupakan vokalis utama kumpulan nasyid - Mirwana. . Zafwan lahir dari kerinduan mereka semua pada lagu-lagu dakwah, yang hanya dihasilkan menggunakan 100% pergendangan, kompang atau alat perkusi gendangan.


Zawfan dianggotai oleh Yasir Tamizi, Hafiz Tamizi dan Fadzli Radzi

Membesar dengan irama lagu-lagu nasyid seperti Raihan, Nadamurni dan TheZikr, bagi mereka nasyid klasik yang disampaikan sekitar tahun 90-an sangat sederhana, namun ia berjaya dihayati masyarakat.


Tidak sarat, hanya berbekalkan lirik yang jelas dan melodi yang ringkas, nyanyian yang sederhana, suara latar berharmoni serta iringan alat kompang dan pergendangan sahaja, namun ia mampu membawa mesej keagamaan, ketuhanan, kemanusiaan dan kerohanian dengan sangat mengesankan masyarakat.


Ia juga merupakan salah satu resepi tercetusnya era kegemilangan nasyid di Malaysia yang

menjadi fenomena umat Islam seluruh dunia. Pandangan ini turut dikongsi oleh sebahagian

besar penggiat, pemuzik, pemerhati, dan peminat nasyid tanahair.


Pada awal 2020, ZAWFAN mula mengorak langkah pertama di media sosial bergerak dengan tanda pagar #RinduNasyid dengan merakamkan semula video-video nasyid nostalgia secara acapella atau iringan perkusi di platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan juga TikTok.



Usaha murni ZAWFAN berjaya menghimpunkan perindu-perindu nasyid di media sosial mereka dan di sini mereka bernostalgia, bersembang dan bertukar-tukar buah fikiran. Komuniti perindu nasyid bersama-sama menginginkan irama nasyid yang ringkas dan sederhana, vokal harmoni dankompang pergendangan seperti era 90-an itu untuk kembali semula dihasilkan.


Pada pertengahan tahun 2021, single pertama ZAWFAN bertajuk "Rasul Kita" telah dilancarkan. Mesejnya sangat tepat dengan keadaan semasa di mana masyarakat sedang dilambakkan dengan kisah adiwira-adiwira cereka dari Marvel Cinematic Universe (MCU) dan DC Universe (DCU).


Sambil berhibur dan terpesona dengan karya fiksyen begitu, bagi masyarakat Islam perlu ada peringatan bahawa adiwira-adiwira sebenar ialah para nabi dan rasul kita yang disebut nama nama mereka di dalam kitab Al-Quran yang didatangkan hadir dikalangan manusia pada zaman dan waktu tertentu memberi peringatan, menyelamatkan manusia dari kegelapan kepada cahaya, dari kejahilan kepada kebijaksanaan, dari kepalsuan kepada kebenaran.


"Rasul Kita" adalah merupakan sebuah lagu nasyid asuhan yang ditujukan kepada anak-anak. Liriknya mengingatkan nama-nama nabi dan rasul serta mengajak agar sama-sama menghayati dan mengambil pengajaran, iktibar dan teladan dari kisahnya. Inspirasinya memang dari lagu “25 Rasul” dendangan Raihan.



“Rasul Kita” merupakan ciptaan Hafiz Tamizi, diterbitkan oleh ZAWFAN dan diedarkan secara digital oleh Inteam Records. Kini boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify dan Apple Music dan boleh didengari di IKIMFM, ZAYAN dan radio-radio tempatan yang lain. Sementara itu video muzik "Rasul Kita" boleh ditonton di saluran YouTube Zafwan Official dan Inteam Digital



Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page