top of page
Writer's pictureMYB

DA UNKNOWN Kembali Dengan Single Terbaharu - Cinta Hati

Selepas kejayaan single pertama berjudul Jangan Marah (Baby Sayang) yang meraih lebih 2.1 juta tontonan di YouTube serta single kedua, Tersakiti yang mendapat lebih 110,000 tontonan, kini kumpulan 'boyband' Da Unknown tampil dengan single ketiga bertajuk CINTA HATI.


Kredit:Instagram @DaUnknown


Kumpulan yang dianggotai empat anak muda kacak iaitu Muhammad Shazrul Affandy (Momo), 21; Izmeer Ibrahim (Izmeer), 20; Ameer Nor Azam (Ameer), 20; dan Awangku Zaq Amirul (Zaq), 19, tidak mengambil masa yang lama untuk melancarkan single baharu selepas kali terakhir pada awal tahun ini.


CINTA HATI hasil ciptaan sepenuhnya oleh Momo sudah dilancarkan di kesemua platform digital manakala muzik video sudah boleh ditonton sejak 25 November lalu.


Bercerita mengenai single CINTA HATI, Momo berkata, sebagai pencipta lagu dia mendefinasikan lagu itu sebagai karya yang ‘sweet’ dan ‘sexy’.


“Lagu ini mengisahkan perjalanan seorang lelaki yang jatuh hati kepada seorang wanita yang diminati dalam diam. Lelaki itu berjanji tidak akan sesekali berputus asa untuk memenangi hati wanita ini.


“Malah menerusi lagu ini juga saya sudah membahagikan bahagian yang perlu dinyanyikan oleh setiap anggota kumpulan Da Unkown supaya proses rakaman berjalan dengan lebih mudah dan cepat.


“Pada awalnya, saya tiada idea untuk buat lagu ini. Namun apabila mendengar dua buah lagu dari Indonesia dan Korea Selatan, saya terdetik nak cabar diri menghasilkan lagu yang ada elemen baharu dan tidak pernah saya terokai.


"Alhamdulillah selepas dua jam mengerah idea saya berjaya menyiapkan lagu CINTA HATI. Boleh dikatakan lagu ini antara karya yang paling cepat saya siapkan sepanjang seumur hidup saya,” katanya.



Ditanya mengenai keunikan lagu CINTA HATI, Ameer berkata, lagu ini berbeza dengan single kedua berjudul Tersakiti dan yakin lagu terbabit akan mudah diterima oleh peminat.


“Ketika mendengar melodi lagu ini, saya dapat rasakan peminat akan menyukainya. Malah peminat yang mendengar akan berasa diri mereka sedang jatuh cinta walaupun mereka mungkin tidak mempunyai pengalaman itu lagi," katanya.


Melihat keakraban lima sahabat ini di akaun media sosial, maka tidak hairanlah Da Unkown mudah mencipta keserasian dan faham selok-belok dunia nyanyian.


Kata Izmeer, proses rakaman tidak memakan masa yang lama memandangkan ini adalah single ketiga mereka.


“Malah ketika melakukan proses penggambaran untuk muzik video pun kami sudah tahu apa yang kami ingin laksanakan. Walaupun masing-masing memiliki visi dan idea yang berbeza untuk muzik video ini, tapi kami berjaya mencapai jalan penyelesaian untuk setiap idea yang dicurahkan.


“Secara peribadi, saya menikmati proses penggambaran untuk muzik video ini dan boleh dikatakan kali pertama kami berjaya menemui jalan cerita yang menarik dan tersusun. Saya seronok apabila semuanya berjalan dengan lancar,” kata Izmeer.


Dalam pada itu, Zaq berharap lagu CINTA HATI dapat diterima ramai dan mencipta fenomena baharu selepas kejayaan Jangan Marah (Baby Sayang).


“Saya harap lagu ini akan digemari ramai kerana melodinya cukup romantis dan akan menggembirakan hari-hari anda. Saya juga berharap lagu ini akan meletup seperti lagu Jangan Marah (Baby Sayang) atau mencetuskan fenomena baharu.


“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada peminat yang sehingga kini menyokong perjalanan karier muzik kami. Saya berharap lagu ini akan menjadi hadiah terindah kepada anda,” katanya.


Single CINTA HATI sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music sejak 25 November yang lalu manakala muzik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Ace Talents

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page