top of page
Writer's pictureMYB

Cahaya Mata: Dedikasi Istimewa Ikhwan Fatanna Buat Anak Sulungnya, Yusuf Musa

Penyanyi dan penulis lagu terkenal, Ikhwan Fatanna, telah melancarkan lagu terbaharunya yang berjudul “Cahaya Mata” sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang kepada anak sulungnya, Yusuf Musa Mohamad Fatanah, yang dilahirkan pada 17 September lalu.


Cahaya Mata

Lagu “Cahaya Mata” ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ikhwan dan dinyanyikan sendiri olehnya. Lagu ini menggambarkan keindahan dan kegembiraan menjadi ibu bapa serta merakam detik-detik penuh makna dengan kelahiran Yusuf Musa.


Melalui lirik yang jujur dan penuh emosi, Ikhwan menyampaikan rasa cinta yang mendalam terhadap anaknya serta mengangkat tema tanggungjawab dan kebahagiaan yang hadir dengan kehadiran seorang anak.


Menurut Ikhwan, kelahiran anak sulungnya telah mengubah perspektif hidupnya. “Saya ingin berkongsi perasaan yang tidak terucap ini melalui lagu ‘Cahaya Mata’, sebagai tanda penghargaan untuk momen yang cukup indah yang saya dan isteri lalui. Lagu ini bukan sahaja untuk ibu bapa tetapi juga untuk sesiapa sahaja yang merasai keajaiban kasih sayang dalam keluarga,” katanya.


Cahaya Mata

Ikhwan juga menceritakan bahawa idea untuk lagu ini muncul ketika isterinya sedang mengandung lima bulan. “Saya berasa terlalu gembira dan bersyukur ketika itu, dan saya ingin terjemahkan rasa itu dalam sebuah lagu.


"Pada mulanya, saya fikir untuk simpan lagu ini sebagai kenangan keluarga sahaja, tetapi isteri saya menyarankan untuk kongsikan dengan orang ramai kerana ia sangat istimewa,” tambahnya.


Dengan pelancaran lagu ini, Ikhwan Fatanna bukan sahaja meraikan kelahiran anak sulungnya tetapi juga berkongsi kebahagiaan dan kasih sayang yang dirasainya dengan seluruh peminat dan pendengar muziknya.



Ikhwan berharap lagu ini dapat menghiasi setiap keluarga dengan elemen kebahagiaan dan syukur yang terkandung di dalamnya. “Saya berharap pendengar dapat menikmati lagu ‘Cahaya Mata’ ini dan merasai kebahagiaan yang saya rasakan,” katanya.


Lagu “Cahaya Mata” diterbitkan oleh syarikat rakaman Nova Music dan boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music mulai 18 Oktober 2024. Video muzik rasmi lagu ini juga akan disiarkan di saluran YouTube Nova Music Videos.




Comentários


bottom of page