Ikuti Kami:

CA Prime Gold Lancar Program Gold Preneur: Sasar Latih 10,000 Usahawan Emas Berteraskan TVET Dan AI

CA Prime Gold Lancar Program Gold Preneur: Sasar Latih 10,000 Usahawan Emas Berteraskan TVET Dan AI

KUALA LUMPUR – CA Prime Gold melalui CA Academy secara rasmi telah melancarkan Program Gold Preneur CA Prime Gold, sebuah inisiatif berimpak tinggi yang bertujuan melahirkan generasi baharu usahawan kompeten dan berdaya saing. Program ini menggabungkan elemen literasi kewangan, keusahawanan emas, transformasi digital, serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membolehkan peserta menjana pendapatan secara mampan. Mengangkat konsep 3P iaitu Pelatihan, Penempatan, dan Pendapatan, pelancaran strategik yang berlangsung di Hotel Seri Pacific ini sejajar dengan aspirasi negara dalam memperkukuh ekosistem TVET dan meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan.

Inisiatif komprehensif ini direka khusus untuk memberi impak kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia, graduan, alumni TVET, usahawan mikro dan kecil, suri rumah, pesara, serta komuniti luar bandar yang ingin meningkatkan taraf ekonomi. Melalui struktur latihan yang dinamik, para peserta tidak sekadar didedahkan kepada seluk-beluk industri emas, malah bakal dibimbing secara intensif dalam aspek pengurusan kewangan, pembangunan perniagaan, pemasaran digital, kepimpinan, serta penggunaan kecerdasan buatan (AI). Tambahan pula, program ini membuka laluan eksklusif kepada pembangunan kompetensi dan pensijilan kemahiran yang diiktiraf mengikut standard pihak berkuasa yang berkaitan.


Foto Dari Kiri Ketua Ahli Lembaga Pemegang Amanah, CA Prime Berhad, Dato’ Seri Ahmad Khusairi bin Bani Hashim Al Haj, Pengarah Eksekutif CA Prime Gold Tuan Abdul Fatah bin Mohamed Baki dan Ketua Pegawai Eksekutif CA Prime Gold Puan Noora Arshad Menandatangani Plat Sebagai Simbol Pelancaran Gold Consultant LIcense (GCL) &Gold Preneur Programme (GPP) Semalam di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur.

Bagi memastikan keberkesanan jangka panjang, Program Gold Preneur telah menetapkan sasaran mampan dalam tempoh lima tahun akan datang, termasuk melatih 10,000 Gold Preneur di seluruh negara dan melahirkan 2,000 usahawan sepenuh masa dalam industri emas. CA Prime Gold turut merancang untuk membina rangkaian 30 Akademi Gold Preneur di seluruh Malaysia melalui kerjasama strategik demi memacu pertumbuhan ekonomi komuniti. Untuk menilai prestasi para peserta dan ekosistem ini secara holistik, instrumen Balanced Scorecard Gold Preneur diperkenalkan dengan memfokuskan kepada empat dimensi utama iaitu Kewangan, Pelanggan, Proses Dalaman, serta Pembelajaran dan Pertumbuhan yang merangkumi inovasi digital dan AI.

‘Modul TVET ini kami adakan untuk industri mahupun untuk perunding, pemasaran dan jualan atau pereka emas, ia bertujuan menyediakan pelapis-pelapis usahawan industri emas maka itu CA Prime Gold kami mengorak langkah membawa perniagaan emas ke arah yang lebih baik atau jauh…; Ujar Pengarah Eksekutif CA Prime Gold Tuan Abdul Fatah bin Mohamed Baki

Menurut ketua penganjur, program ini bukan sekadar platform jualan emas biasa, sebaliknya ia merupakan sebuah ekosistem pembangunan modal insan yang menyatukan pendidikan, teknologi, dan peluang ekonomi secara profesional. Beliau menegaskan bahawa kekuatan sesebuah negara berakar umbi daripada rakyat yang berilmu dan berkemahiran tinggi, menjadikan program ini satu pelaburan bermakna untuk masa depan negara. Sehubungan itu, CA Academy mengalu-alukan penglibatan aktif daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, institusi TVET, sektor korporat, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperkasakan lagi ekosistem ini.

Sinergi program ini diperkukuhkan lagi menerusi pelancaran ‘Kempen Kesedaran Miliki Emas & Emas Sebagai Aset Jaminan’, bersama-sama pengenalan Gold Consultant License (GCL) dan Gold Preneur Programme (GPP) untuk melatih perunding emas yang berintegriti. Kemuncak majlis menyaksikan pemeteraian Surat Hasrat Kerjasama (LOU) bersama rakan strategik utama seperti TEKUN Nasional, COSHARE, PERHEBAT, Persekutuan Pengakap Malaysia, dan MIPay. Kerjasama erat ini diyakini mampu meluaskan akses pendidikan kewangan serta membuka ruang ekonomi yang lebih inklusif dan mampan bagi merealisasikan visi “Simpan Emas, Bina Legasi” demi kesejahteraan masyarakat Malaysia.

Loading...