Kuala Lumpur - Jenama fesyen tempatan, Bulan Bintang meraikan ulang tahun kesepuluhnya dengan melancarkan koleksi Raya 2025 yang memukau dalam satu acara pertunjukan fesyen bertemakan 'Sedekad Menyinar' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam semalam.
Pertunjukan fesyen yang menampilkan barisan duta jenama terdiri dari barisan selebriti ternama tanah air seperti Datuk Rosyam Nor, Datuk Remy Ishak, Shukri Yahya, Syafiq Klye dan Hannah Delisha ini memperkenalkan koleksi pakaian raya 'ready-to-wear' (RTW) terkini untuk seisi keluarga dengan lebih 70 pilihan warna yang menarik.
Menurut pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi, koleksi terbaru ini mengetengahkan Baju Melayu dengan tiga pilihan potongan iaitu Slim Fit, Tailored Fit dan Traditional Fit. "Kami menggunakan kain yang lebih lembut, ringan dan sejuk dengan jahitan yang kemas untuk keselesaan pemakai sepanjang hari," katanya.
Bagi memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat, koleksi kali ini menawarkan saiz yang inklusif dari saiz bayi hingga 8XL, termasuk pelbagai pilihan kurta. Tidak ketinggalan, koleksi pakaian raya sedondon untuk wanita dan kanak-kanak turut diperkenalkan.
Sempena sambutan sedekad ini, Bulan Bintang melancarkan Kempen 'Terrrpaling Raya 2025' hasil koloborasi korporat bersama 14 jenama terkemuka. Kempen ini menawarkan hadiah-hadiah menarik bernilai RM10 juta, termasuk hadiah utama berupa 1kg jongkong emas dari GB Gold untuk dimenangi oleh pembeli bertuah tahun ini.
Antara hadiah-hadiah lain yang ditawarkan termasuk tiket penerbangan percuma selama setahun dari AirAsia, wang tunai RM150,000 dari Hausboom, pakej haji dan umrah dari Tabung Haji dan Kahf, serta 120,000 voucher dari Tealive serta banyak lagi.
Azzim menyasarkan jualan sebanyak 1.5 juta helai pakaian untuk kempen kali ini. Orang ramai boleh mendapatkan koleksi Raya Sedekad Menyinar di 15 butik rasmi Bulan Bintang seluruh negara dan di platform TikTok, dengan perkhidmatan penghantaran oleh Ninjavan.
Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan persembahan dari Zeppo Youngsterz Dancer, Datuk Jamal Abdillah dan Bunkface, serta pengumuman pemenang pertandingan Bulan Bintang Next Top Model yang menonjolkan bakat berusia 40 hingga 70 tahun.
"Kami amat bersyukur kerana jenama Bulan Bintang terus berkembang pesat dan kekal bersinar selama sedekad dalam pasaran yang kompetitif ini. Kejayaan ini adalah hasil sokongan padu rakyat Malaysia dan komitmen kami dalam memastikan kualiti dan khidmat pelanggan yang terbaik," tambah Azzim.
Comments