Bukan Sofazr Lagi, Second Plan Kini ‘Berhari Raya’ Versi 60-an!
- oleh Editor MYBUZZ
- 27 Feb 2026 4:53 pm
KUALA LUMPUR – Industri muzik tanah air kembali ceria dengan kehadiran kumpulan Second Plan yang kini tampil dengan identiti baharu menerusi pelancaran lagu raya sulung mereka, “Berhari Raya”. Kumpulan yang dahulunya dikenali sebagai Sofazr ini memilih untuk bergerak di bawah jenama Second Plan selepas melalui fasa penjenamaan semula yang melibatkan empat orang ahli iaitu Zimi, Amir, One, dan Fairouz.
Meskipun ini merupakan karya pertama mereka sebagai Second Plan, “Berhari Raya” sebenarnya adalah lagu tema Syawal ketiga hasil sentuhan kreatif mereka selepas kejayaan lagu “Inilah Harinya” dan “Ingatan di Hari Raya”.

Untuk edisi kali ini, Second Plan mempertaruhkan konsep light rock era 60-an bagi membangkitkan suasana nostalgia dan keceriaan yang sering dikaitkan dengan sambutan hari raya di Malaysia.
Menurut pemain gitar, Zimi, proses pembikinan lagu ini berlaku dengan sangat pantas. Seluruh rakaman dan produksi disiapkan dalam tempoh singkat, iaitu sekitar dua hingga tiga hari sahaja demi memenuhi permintaan peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seni mereka selama ini. Lagu ini dianggap sebagai hadiah istimewa daripada kumpulan tersebut buat para penyokong tegarnya.
“Lagu ini mengekalkan semangat Syawal yang ceria dan gembira dengan suntikan konsep light rock era 60-an bagi memberikan sentuhan nostalgia kepada pendengar.
“Menariknya, keseluruhan proses rakaman dan pembikinan lagu ini disiapkan dalam tempoh yang sangat singkat, iaitu sekitar dua hingga tiga hari sahaja,” jelas Zimi.
Peminat sudah boleh mula menikmati “Berhari Raya” di semua platform penstriman muzik digital bermula 27 Februari 2026 di bawah terbitan Nova Music Malaysia.
Selain itu, muzik video rasmi bagi lagu ini juga bakal menemui penonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ dalam masa terdekat. Selepas tamat musim perayaan nanti, Second Plan dijangka akan terus rancak dengan pelancaran single terbaharu mereka.
