"Blood Brothers: Bara Naga" Pamer Ala Mafia Dalam Filem Aksi Terhebat Malaysia 2025
- MYB
- 5 hari lalu
- 3 min membaca
Putrajaya - Di tengah kemeriahan sambutan Aidilfitri, majlis tayangan perdana filem "Blood Brothers: Bara Naga" yang menggemparkan telah berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya pada semalam. Filem aksi terbaru dari Skop Productions, telah berjaya menyerlahkan keunikan konsep mafia dalam industri perfileman tempatan, sekali gus menjanjikan pengalaman sinematik yang mendebarkan buat para penonton Malaysia.

Filem arahan gabungan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra ini merupakan hasil dua tahun kerja keras dan dedikasi yang melibatkan perancangan rapi, penulisan skrip selama enam bulan, persiapan lima bulan, penggambaran tiga bulan, dan pasca produksi lapan bulan. Hasil kerja keras ini akan dapat disaksikan oleh penonton di seluruh negara bermula 10 April 2025, dengan tayangan awal seawal 8 April di 146 lokasi pawagam terpilih.
Tayangan perdana filem ini diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi, YB Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, bersama beberapa tokoh penting industri termasuk YBhg. Datuk Dr. Yusof Haslam selaku Pengasas Skop Productions, Datuk Hans Isaac, Pengerusi FINAS, dan Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios.

Syafiq Yusof selaku pengarah filem ini berkata, "Dua tahun penuh dedikasi telah kami curahkan untuk menghasilkan Blood Brothers: Bara Naga. Saya yakin filem ini akan membuka lembaran baru dalam industri filem negara dan memberi inspirasi kepada karyawan lain untuk menghasilkan karya yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa."
"Blood Brothers: Bara Naga" menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, Andy Teh, Irfan Zaini, Wan Hanafi Su, dan Zamarul Hisham.

Jalan cerita filem ini berkisar tentang Ariff (Syafiq Kyle) yang direkrut oleh Ghaz (Sharnaaz Ahmad) untuk berkhidmat di bawah Dato Zul (Wan Hanafi Su), ketua Mafia Naga. Ariff kemudian menjadi pengawal peribadi elit dalam syarikat kawalan keselamatan "Silent Guard" dan terikat sebagai "Blood Brother" kepada Ghaz.
Namun, apabila pengkhianatan berlaku, Ariff dituduh sebagai pembelot dan terpaksa melarikan diri serta mendapatkan bantuan daripada abang kandungnya, Jaki (Syazwan Zulkifly). Sementara itu, Ghaz diamanahkan untuk memburu dan menangkap Ariff.
Filem ini menonjolkan nilai persaudaraan yang melangkaui hubungan darah, dengan tema utama kepercayaan dan pengorbanan. Persembahan OST bertajuk "Bara Jiwa" oleh Azlan Typewriter dan Muzza turut menyemarakkan malam tayangan perdana.
Faktor-faktor menarik lain tentang filem ini termasuk 13 adegan aksi utama yang mendebarkan, dengan 15 minit terakhir penuh dengan aksi tanpa henti. Filem ini juga menampilkan tujuh letupan besar yang dirancang dengan teliti, serta koreografi aksi bertaraf antarabangsa yang memerlukan masa hampir lapan bulan untuk dihasilkan.
Proses reka bentuk koreografi aksi memakan masa tiga bulan untuk pra-visualisasi, manakala para pelakon memerlukan lima bulan untuk latihan intensif. Menariknya, walaupun aksi yang dipersembahkan begitu mencabar, tiada seorang pun pelakon mengalami kecederaan berat sepanjang penggambaran.
Abhilash Chandra, pengarah bersama, berkongsi bahawa kerjasama dengan Syafiq Yusof telah membuka ruang untuk meneroka idea baru dan mencipta cerita yang berkesan dan kuat. Skrip filem ini direka khas untuk Sharnaaz Ahmad dan Syafiq Kyle, menjadikan kimia di antara mereka faktor utama kejayaan filem ini.
"Blood Brothers: Bara Naga" merupakan gabungan kerjasama Skop Productions sebagai penerbit utama dan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, bersama beberapa penerbit eksekutif termasuk Enotech, Komet Productions, Me Republic, dan D'Ayu Pictures.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem aksi penuh intensiti ini yang bakal menggegarkan layar perak bermula 10 April 2025!
Comentários