Penyanyi tersohor tanah air, Black Hanifah, membuktikan tiada apa yang mampu menghalang semangatnya apabila beliau kembali ke industri muzik dengan single terbaru bertajuk "Hijab Rindu" - sebuah balada yang menggambarkan perjalanan kehidupan dan kasih sayang keluarga.
Single yang akan dilancarkan pada 6 Disember 2024 ini merupakan hasil kolaborasi mantap bersama barisan pencipta hebat termasuk Rudy Nastia, Nyawa Black, Kelana, dan Adi Pawana. Menariknya, "Hijab Rindu" adalah rakaman pertama Black selepas beliau menjalani pembedahan pita suara akibat Polip.
"Hampir dua tahun saya tidak dapat mencapai not tinggi dengan selesa," kongsi Black dengan nada penuh kesyukuran. Namun, berkat sokongan pakar vokal Afif Tirmizie dan kepakaran Rudy Nastia, Black berjaya merakam lagu ini seperti yang diimpikan.
Bukan sekadar lagu, "Hijab Rindu" membawa mesej yang lebih mendalam tentang ketabahan mengharungi kehidupan dan penghargaan terhadap insan tersayang. Lirik yang dihasilkan oleh Adi Pawana dan Rudy Nastia menggambarkan perjalanan seorang insan dalam menghadapi cabaran hidup, terutamanya apabila dikurniakan cahaya mata yang memberi makna baharu kepada kehidupan.
Muzik video "Hijab Rindu" turut menampilkan sentuhan peribadi apabila sebahagian rakaman dibuat di Perth, Australia, dengan penglibatan isteri dan anak-anak Black sendiri. Ini menambah lagi keintiman dan ketulusan mesej yang ingin disampaikan melalui lagu tersebut.
"Ini adalah cerita yang tidak perlu dijelaskan, sebuah mesej yang tidak perlu dihebahkan - semuanya disampaikan dalam melodi lagu ini," jelas Black yang optimis single terbarunya akan menyentuh hati pendengar dari pelbagai lapisan masyarakat.
Dirakam di Mixbro Records dengan proses mastering oleh Huzai dari SYNS Music, "Hijab Rindu" terbitan Nova Music akan boleh distrim di semua platform muzik digital mulai 6 Disember 2024. Peminat juga boleh menonton tayangan perdana muzik video rasmi pada hari yang sama, jam 3 petang di saluran YouTube 'Nova Music Videos'.
Dengan gabungan kepakaran Rudy Nastia selaku penerbit dan gubahan muzik, serta Afif Tirmizie dalam susunan vokal, "Hijab Rindu" dijangka menjadi satu lagi karya yang membuktikan kehebatan Black Hanifah dalam industri muzik tempatan.
Comentarios