top of page
Writer's pictureMYB

'Bila Hati Memilih Dia' Isi Slot Samarinda TV3

Menghampiri bulan Ramadan yang mulia ini, ramai yang tertunggu-tunggu senarai drama-drama menarik untuk ditonton bersama seisi keluarga. Slot Samarinda terbaharu berjudul Bila Hati Memilih Dia, menjanjikan sebuah drama menarik yang memartabatkan kaum wanita dan tentunya menyentuh emosi di samping memberi pengajaran serta tauladan buat semua.



Bila Hati Memilih Dia merupakan sebuah drama bersiri yang diadaptasikan daripada novel karya Wan Nur Najihah (KARNADYA) di bawah penerbitan Global Station Sdn Bhd. Drama bersiri 15 episod ini bakal menemui penonton TV3 bermula 28 Mac 2022, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pada pukul 10.00 malam dan turut disiarkan melalui perkhidmatan penstriman iQiyi pada hari yang sama selepas siaran di TV3.


SINOPSIS


Bermula dengan Adra, lakonan Eyka Farhana, yang baru habis belajar dan sedang menunggu tawaran pekerjaan. Adra telah dipaksa oleh mak tirinya Makcik Melur (Zila Bakarin) untuk berkahwin dengan Farhan (Azri Sabri). Namun Adra menolak permintaan ibu tirinya kerana masih tidak bersedia. Pada masa yang sama, Nazril lakonan Aedy Ashraf, terpaksa berpindah ke Langkawi atas urusan kerja. Nazril merupakan seorang bapa tunggal dan dia terpaksa mencari pengasuh untuk menjaga anaknya, Nufail (adik Maryam Annisa).


Makcik Melur yang tahu akan tawaran pengasuh tersebut terus memaksa Adra kerana mendengar gaji yang diberi lumayan. Adra akur apabila Makcik Melur beri jaminan selepas bekerja beberapa bulan dengan Nazril, Adra boleh bebas bekerja di Kuala Lumpur.


Nazril dan anaknya, Nufail tiba di Langkawi dan cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan di sana. Satu insiden terjadi di mana Nufail hilang sewaktu Nazril sibuk menjawab panggilan telefon. Kebetulan Adra berada di situ, dia cuba memujuk Nufail dengan memeluknya. Nazril terus menjerit dan menuduh Adra cuba menculik Nufail.



Keesokan hari, Adra tiba di rumah Nazril. Nazril terkejut dan mengungkit peristiwa semalam. Setelah Nufail menceritakan hal sebenar, Nazril terus meminta maaf kepada Adra. Adra tidak suka dengan sikap Nazril dan berasa tidak sedap hati bekerja di situ. Nufail seorang kanak-kanak yang pemalu tetapi dia sangat selesa dengan Adra membuatkan Nazril mengalah dan meminta Adra terus bekerja sehingga dia mendapat pengasuh baharu.


Makcik Melur terus cuba menjodohkan Adra dengan Farhan. Adra menolak kerana tidak suka dengan perangai Farhan. Pada masa yang sama, Fadhil (Shahz Jaszle) abang kepada Farhan juga cuba memikat Adra.

Satu hari, satu insiden berlaku yang membuat Adra dan Nazril terperangkap tanpa siasatan kejadian sebenar. Adakah kesudahan nasib Nazril dan Adra?


Drama bersiri ini akan tersedia sejam kemudian pada hari yang sama dengan TV3 di perkhidmatan penstriman iQiyi. Ia juga disertakan dengan sari kata dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia di mana penonton boleh mengakses secara percuma pada bila-bila masa melalui www.iQ.com/local atau muat turun aplikasi iQiyi di App Store dan Play Store. Pelanggan VIP akan dapat mengakses kemudahan VIP Express iQiyi bagi drama Bila Hati Memilih Dia yang membolehkan penonton untuk menonton episod terkini 1 jam selepas tayangan di TV3 manakala pengguna percuma dapat menonton 48 jam selepas.


Comments


bottom of page