Beto Kusyairy Kembali Hidupkan Legenda ADMAR Dalam ‘Gayong 2’
- oleh Editor MYBUZZ
- 13 Mar 2026 3:57 pm
KUALA LUMPUR – Selepas fenomena yang dicipta pada tahun lalu, peminat seni filem aksi tempatan pastinya tidak senang duduk menantikan kemunculan sekuel filem epik yang sangat dinanti-nantikan, Gayong 2. Perkara yang paling mengujakan? Aktor berkaliber, Beto Kusyairy sah kembali menggalas tanggungjawab besar menghidupkan watak legenda, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR)!
Diterbitkan oleh SOL Pictures Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh sutradara Faisal Ishak, naskhah terbaharu ini menjanjikan kelainan yang sangat ketara berbanding filem pertamanya. Jika anda fikir Gayong 2 hanyalah satu lagi penceritaan biasa tentang dunia persilatan, anda sama sekali silap.

Menerusi Gayong 2, penonton akan dibawa menyelami fasa kehidupan ADMAR yang jauh lebih gelap dan penuh ranjau. Mengambil latar masa era pasca Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu yang kelihatan aman di luar tetapi “busuk” di dalam, watak Meor Abdul Rahman kini memfokuskan kerjayanya sebagai seorang pegawai CID dalam Pasukan Polis British.
Skoop utama filem ini mengangkat keberanian Meor menentang arus dalam membanteras jenayah kongsi gelap, rasuah, dan salah guna kuasa. Keadaan menjadi mendebarkan apabila Meor terpaksa berhadapan dengan “musuh dalam selimut” iaitu Malcom, seorang pegawai atasan polis berpangkat tinggi yang korup, serta Lee Khoon, ketua kongsi gelap kejam yang menguasai judi dan penyeludupan candu dengan kekebalan perlindungan polis.

Menurut Penerbit Eksekutifnya, Khairul Anuar Latip, filem ini bukanlah naskhah dokumentari yang mendatar, sebaliknya ia dipersembahkan dalam sentuhan sinematik yang dramatik.
“Dalam sejarah hidup beliau, ada satu fasa yang sangat menarik dan relevan iaitu apabila beliau memilih untuk menentang kejahatan dari dalam sebuah sistem,” ujar Khairul mengenai konflik yang bakal disajikan.
Bagi Faisal Ishak pula, naskhah ini menuntut emosi yang tinggi kerana ia bermain dengan dilema seorang lelaki yang tersepit antara prinsip kebenaran dan keselamatan nyawa keluarganya.
“Ia bukan sekadar aksi, tetapi tentang identiti dan maruah,” jelas beliau.

Selain aksi Beto Kusyairy, Gayong 2 turut mengekalkan bintang asalnya iaitu Nabila Huda sebagai Che Som dan Syafie Naswip sebagai Mat. Namun, kejutan terbesar semestinya penampilan sulung Miss Malaysia 2024, Sandra Lim yang memegang watak Jade dalam sebuah naskhah epik Melayu berskala besar ini.

Barisan pelakon hebat lain yang turut mewarnai naskhah ini termasuklah Fauzie Laily, Bobby Tonelli, Rabbit Chen, Hanna Aqeela, Ayez Shaukat, dan Tian Jian. Untuk makluman peminat, filem ini telah pun menjalani penggambaran 100 peratus di sekitar Ipoh, Perak pada November hingga Disember 2024 lalu.
Mampukah Meor Abdul Rahman bertahan apabila kebenaran yang dipertahankannya kini menjadi ancaman paling besar buat dirinya? Sama-sama kita saksikan pertempuran epik ini apabila Gayong 2 bakal menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 9 April 2026!
