Ben Amir & Amyra Rosli Kembali, ‘Khianat Yang Terpilih’ Bakal Cetus Fenomena Cinta Terlarang di Slot Akasia TV3
- oleh Editor MYBUZZ
- 22 Feb 2026 1:40 pm
KUALA LUMPUR – Slot Akasia TV3 sekali lagi bakal menjadi medan emosi penonton dengan naskhah terbaharu yang penuh dramatik bertajuk “Khianat Yang Terpilih”. Drama 30 episod terbitan Mache Allstar ini bukan sekadar kisah cinta biasa, sebaliknya ia mengangkat tema “cinta terlarang” yang bakal menguji kesetiaan dan takdir empat jiwa.
Mula menemui penonton pada 26 Februari 2026, drama arahan Ejump Mohd ini membariskan pelakon-pelakon gred A tanah air seperti Ben Amir, Amyra Rosli, Ikmal Amry, Puteri Aishah, Ainina Ahmad, dan Erin CTJ. Premis ceritanya cukup menyentuh hati, iaitu tentang bagaimana cinta pertama yang disangka sudah terkubur, tiba-tiba kembali menyala dan mula melukai kehidupan yang telah dibina.
Kisah bermula dengan pertemuan semula Ali (Ben Amir) dan Asmida (Puteri Aishah), bekas kekasih sejak zaman universiti. Takdir mempertemukan mereka apabila Ali mendaftarkan anaknya, Afeeya, yang mengalami masalah lambat bercakap (speech delay) di sekolah tempat Asmida mengajar. Walaupun kedua-duanya sudah mempunyai pasangan, Ali suami kepada Waheeda (Amyra Rosli) dan Asmida isteri kepada Fahim (Ikmal Amry) namun api cinta lama mula marak secara tidak sengaja.

Konflik semakin memuncak apabila Waheeda mula mencium perubahan sikap suaminya, manakala Fahim pula terjerumus dalam cengkaman cemburu buta yang membawa kepada keganasan domestik. Penonton akan dibawa menyelami dilema antara tanggungjawab terhadap keluarga dan tarikan nostalgia masa lalu yang menghancurkan.
Adakah Ali dan Asmida akan memilih untuk mengkhianati pasangan masing-masing demi cinta lama? Dan mampukah Waheeda mempertahankan mahligai kasihnya daripada terus retak? Segalanya bakal terjawab menerusi drama yang penuh dengan pengajaran tentang kejujuran dan kesan daripada sebuah pengkhianatan ini.
Jangan lupa saksikan “Khianat Yang Terpilih” setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.58 petang di slot Akasia TV3. Bagi yang terlepas siaran di televisyen, anda juga boleh menontonnya secara eksklusif menerusi platform penstriman Tonton.
