Rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan kemurahan hati serta prihatin apabila berlaku musibah atau bencana keatas komuniti masyarakat kita. Pelbagai jenis bantuan dan sokongan dihulurkan segera demi membantu 'Keluarga Malaysia' yang terkesan agar pulih dengan segera.
Berikutan bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini, Restoran D' Empangan Udang Galah, Putrajaya tampil dengan tujuan murni dengan mengadakan program makan malam amal ambang tahun baru 2022 pada 31 Disember 2021 bagi mengumpul dana untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang terkesan dengan tragedi tersebut.
Para pengunjung yang ingin turut serta menjayakan program ini bukan sahaja boleh menikmati pelbagai hidangan lazat yang disediakan, malah mereka turut akan dihiburkan dengan persembahan penyanyi-penyanyi popular seperti Hail Amir, Rohana Jalil, Isma AF7, Razif Ismail, Alif Kadim AF8 serta ramai lagi.
Menurut pihak pengurusan restoran D'Empangan Udang Galah,selain ingin menghargai pelanggan-pelanggan dengan menikmati sajian secara buffet pada harga berpatutan, antara insiatif utama mereka adalah bagi mengutip sumbangan yang akan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir.
"D' Empangan Udang Galah ingin mengambil kesempatan ini untuk menutup tahun 2021 dengan sesuatu yang lebih bermakna. Bersimpati dengan nasib mangsa-mangsa banjir yang terkesan baru-baru ini, kami akan adakan kutipan derma pada malam tersebut dan seterusnya akan disumbangkan kepada mereka kelak" ujar pemilik D' Empangan Udang Galah
Dengan bayaran sebanyak RM50 seorang, terdapat pelbagai hidangan tersedia pada makan malam amal tersebut. Buat yang berminat, tempahan perlu dibuat menerusi laman Instagram D' Empangan Udang Galah bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dalam memastikan jumlah maksimum pelanggan dalam satu masa. Makan malam tersebut akan bermula pada jam 7 malam hingga 11 malam.
Untuk maklumat lanjut berkenaan program ini atau tempahan meja, orang ramai boleh mengikuti platform Instagram restoran D'Empangan Udang Galah , Putrajaya.
Comments