Hari terakhir pusingan kedua AEON Credit Purple League Junior (ACPLJ) 2021/2022 yang berlangsung di Sixbase Sport Arena, Kampar berkesudahan dengan 8 lagi pasukan berjaya mengesahkan kemaraan mereka ke pusingan akhir kejohanan edisi ketujuh itu yang akan berlangsung pada Februari depan.
Mengetuai pasukan dari zon utara itu ialah juara kumpulan B bagi kategori bawah-15 tahun, Ayer Itam BC yang cemerlang dengan merekodkan tiga kemenangan pada peringkat kumpulan sekaligus berada di puncak dengan mengumpul mata set (556-317).
Ayer Itam BC memulakan rekod cemerlang mereka di peringkat kumpulan dengan kejayaan menewaskan PGBC, (15-3) pada perlawanan pembukaan semalam. Ia disusuli dengan kemenangan besar ke atas Sungai Pinang BC, (14-4) dan Setia Alam BC, (15-1).
Mengiringi mereka adalah PGBC yang bergelar naib juara kumpulan A selepas berjaya menang selesa ke atas jiran mereka Sungai Pinang BC dengan kemenangan (12-6) pada perlawanan terakhir tengah hari tadi.
Turut mara ke pusingan akhir bagi kategori bawah-15 tahun adalah juara kumpulan A, Butterworth BC dan Falim BC yang menduduki tempat kedua.
Bagi jurulatih Ayer Itam BC, Tan Yi Han, beliau memuji persembahan pemain wanita mereka Oo Shan Zi yang mempamerkan aksi memberangsangkan sepanjang dua hari yang lepas.
Katanya, “Oo Shan Zi telah menunjukkan prestasi yang baik apabila dia diturunkan sebagai pemain beregu campuran dan beregu wanita. Sumbangannya cukup penting dalam menghadiahkan mata buat pasukan.
Mengulas kebangkitan dramatik PGBC, pemilik pasukan Ong Ewe Hock berkata, “Saya memuji semangat yang tinggi ditunjukkan oleh para pemain. Mereka berhempas pulas sehingga perlawanan terakhir untuk memastikan kita layak ke pusingan akhir.
“Tetapi, saya tidak mahu terlalu yakin kerana perjalanan kami masih lagi jauh. Saya menghormati pasukan lain yang telah menunjukkan aksi cemerlang di Kampar. Kami akan menggunakan masa rehat yang cukup ini untuk kita lakukan persiapan menjelang pusingan akhir,” tambah Ewe Hock.
Sementara itu dalam aksi bawah-18 tahun pula menyaksikan Bagan BC akan mengiringi Ayer Itam BC selepas bergelar naib juara kumpulan A apabila berjaya menewaskan Penang Pesta BC 15-2 pada perlawanan terakhir pagi tadi.
Melengkapkan empat pasukan terbaik bagi kategori bawah-18 tahun ialah juara kumpulan B, Butterworth BC serta naib juara, Falim BC yang mengesahkan kemaraan mereka selepas meraih kemenangan tipis pada perlawanan menentang Raja Uda BC dengan keputusan (9-8).
Selepas ini, giliran pasukan dari zon tengah pula yang akan merebut slot pusingan akhir apabila mereka akan berentap di Tops Arena Empire, Cheras pada 21-22 Januari dengan 2 pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 19-20 Februari depan.
Comments