Bagi menyemarakkan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi, saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV dengan berbesar hati meneruskan kesinambungan sajian kandungan menarik sepanjang bulan Ramadan Al Mubarak dengan menghimpunkan lebih 150 buah pengisian istimewa menerusi kempen ‘Ikhlaskan Jiwa, Dekat DenganNya’ sempena musim perayaan secara eksklusif di platform Astro (Saluran 123) dan MyTV (Saluran 112) mulai 2 Mei ini.
Mengulas lanjut mengenai pengisian sepanjang bulan Syawal tahun ini, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli selaku Pengarah Unit Kandungan Awesome TV berkata, “Musim perayaan adalah masa terbaik untuk kita meluangkan masa berkumpul di samping keluarga tercinta dan sahabat handai sambil menonton pelbagai aneka program menarik di televisyen yang sudah menjadi aktiviti wajib untuk dibuat bersama-sama.
"Bagi meraikan semangat hari lebaran menerusi Kempen ‘Ikhlaskan Jiwa, Dekat DenganNya’, Awesome TV menjanjikan kandungan yang cukup komprehensif sepanjang Syawal sebagai tanda penghargaan demi menambat hati para penonton yang tidak henti-henti menghulurkan sokongan sejak hari pertama kami beroperasi sehingga kini.
"Pengisian Syawal Awesome TV bakal dirancakkan dengan himpunan lebih 150 program istimewa yang disusun tanpa henti merangkumi pelbagai genre seperti kandungan hiburan berbentuk ‘spin-off’, variasi, muzikal, sketsa, komedi, telefilem, drama bersiri, koleksi filem terlaris tempatan dan antarabangsa termasuklah filem-filem Bollywood, naskhah klasik malar segar serta banyak lagi. Semoga sambutan Aidilfitri pada tahun ini akan lebih meriah dengan kehadiran Awesome TV yang akan setia menemani para penonton sepanjang Syawal. Selamat menonton!”.
Bagi menghidupkan suasana malam raya, Awesome TV bakal mempersembahkan ‘Konsert Mic On! Raya’ yang dijadualkan untuk bersiaran pada jam 8.30 malam dengan penampilan istimewa Mas Idayu, Black, Tomok, Ajak Shiro, Ropie serta peserta program ‘Mic On!’ musim pertama dan kedua. Telefilem hebat ‘Takbir Semalam’ lakonan mantap Fauziah Nawi, Syafie Naswip, Syazwan Zulkifly, Wan Sharmila dan Siti Hariesa pula bakal menyusul pada jam 10.30 malam yang pastinya akan meruntun jiwa.
Kemeriahan Syawal di Awesome TV tahun ini, diteruskan dengan seleksi telefilem hebat dalam slot ‘Ohsem Tele’ . Istimewa pada hari raya pertama, naskhah hebat ‘Jeman’ arahan sutradara tersohor Rashid Sibir yang dibintangi oleh Iman Zulkarnain, Fauziah Nawi, Farah Ahmad dan Mia Farhana bakal menemui penonton pada 3 Mei 2022 jam 9.00 malam.
Selain itu, pelbagai telefilem segar turut disusun bagi mengisi slot yang sama pada setiap hari Ahad jam 9.00 malam. Antaranya termasuklah ‘Mat Ri Ye Pak Din’ yang dilakonkan oleh Sharif Zero, Sabri Yunus, Mak Engku dan Cahaya Nilam, ‘Nawfal Nak Raya’ yang menampilkan gandingan Nadiya Nisaa, Jay Nazif, Beto Kusyairy, Ain Sufiya dan Fudail Dayyan, ‘Syurga Nur Muhammad’ yang diterajui oleh Puteri Sarah, Raja Afiq, Danish Hazriq, Badrul Muhayat dan Lan Siro, ‘Kasih Yang Ternoda’ lakonan mantap Reen Rahim, Hisyam Hamid, Zain Hamid dan Aisyah Shahrom.
Khas untuk peminat drama Melayu tempatan, dua naskhah menarik bakal menanti anda bermula Syawal ini. Bahagian kedua drama bersiri ‘Syurga Yang Kedua’ yang dibintangi oleh Zarul Husin, Elizad Sharifuddin, Fasha Sandha, Sherry Ibrahim dan Dynas Mokhtar akan kembali menghiasi slot ‘Dramatix’ pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam bermula 6 Mei 2022. Manakala drama ‘Hantu Van Sewa 2’ yang menampilkan Nasir Bilan Khan, Adam Shahz dan Bell Ngasri pula bakal mengambil alih slot ‘Dramedi’ pada setiap hari Khamis hingga Ahad jam 9.30 malam bermula 12 Mei kelak.
Sementara itu, slot ‘Ohsem-Tainment’ pula bakal membariskan program-program hiburan menarik berbentuk ‘spin-off’ dalam pelbagai genre seperti variasi, komedi, sketsa, bual bicara dan banyak lagi. Jangan lupa temujanji anda dengan kami untuk program-program seperti ‘Perang Malam Ini Raya’, ‘Roller Kata Raya’, ‘Memoria Raya’, ‘Jawapan Panas 2’, ‘Rumah Insaf’, ‘Chit Chat Ustaz Raya’, ‘Ramadrama’ dan banyak lagi. Kami yakin dengan kehadiran rakan-rakan selebriti yang menjayakan penerbitan program ini seperti Black Hanifah, Tomok, Mas Idayu, Dato’ DJ Dave, Ropie, Pak Ya, Joey, Zahid AF, Mimi Fly, Zalif Sidek, Amelia Henderson, Reen Rahim, Ali Puteh, Elly Ariffin, Sherry Ibrahim, Dottie, Adriana Ghafar, Prof Dato’ Dr. Farid Ravi, Ustazah Asni Mansor dan ramai lagi.
Untuk peminat filem klasik, Slot ‘Ohsem Lejen’ bersiaran pada setiap hari Khamis jam 10.00 malam pula akan terus menyajikan filem-filem klasik yang diterajui Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sepanjang musim lebaran ini seperti ‘Madu Tiga’, ‘Hang Tuah’, ‘Masam Masam Manis’ dan ‘Singapura Dilanggar Todak’.
Manakala slot ‘Filem Kita’ pula turut membariskan koleksi filem tempatan menarik yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga seperti ‘Abang Long Fadhil’, ‘Cuci’, ‘Lemak Kampung Santan’, ‘Layar Lara’ dan ‘Adnan Sempit’ Bahagian 1 hingga 3.
Slot ‘Malar Segar’ masih setia menemani penonton pada setiap hari Selasa jam 9.00 malam pula bakal membariskan filem-filem menarik seperti ‘Ali Setan 1 & 2’ dan ‘Maria Mariana 1 & 2’.
Slot ‘Hindi Special’ yang merupakan antara pengisian paling ditunggu-tunggu oleh para penonton akan membawakan filem-filem Bollywood terhebat sepanjang bulan Syawal seperti ‘Mann’, ‘My Name Is Khan’, ‘Chori Chori Chupke Chupke’, ‘Aa Ab Laut Chalen’, ‘Na Tum Jaano Na Hum’ dan ‘Tere Naam’.
Seleksi filem antarabangsa juga membariskan naskhah-naskhah menarik seperti ‘Wild Wild West’, ‘Big Game’, ‘Cat Woman’ dan ‘Drive Angry’ menerusi slot ‘Awesome Movie’ yang bersiaran pada setiap hari Isnin, jam 10.00 malam.
Istimewa untuk peminat genre komedi dan muzikal, Awesome TV turut memperkenalkan slot khas ‘Konsert - Special Raya’ bermula pada hari raya kedua (4 Mei) hingga hari raya kelima (7 Mei) jam 2.00 petang dengan menampilkan program ‘Lawak Ke Der’ edisi 2013, 2014, 2015 dan 2016 untuk mengubat kerinduan penonton. Antara pelawak-pelawak tersohor tanah air yang menjayakan pementasan pentas komedi berprestij tersebut termasuklah Johan, Zizan Razak, Nabil Ahmad, Harith Iskandar, Afdlin Shauki, Douglas Lim, Jihan Muse, Sherry Al Hadad, Bocey, Jambu dan ramai lagi. Program ‘Baik Punya Konsert’ akan turut menemui penonton pada 7 Mei 2022 jam 10.00 malam yang menampilkan nama-nama popular seperti Dato’ Awie, Dato’ Hans Isaac serta ramai lagi.
Commenti