top of page
Writer's pictureMYB

ARRC 2025: Chang International Circuit Thailand Bakal Tuan Rumah Tiga Pusingan

Badan induk FIM Asia Road Racing Championship (ARRC) telah mengumumkan kalendar rasmi untuk musim 2025 yang akan bermula pada bulan April dengan format enam pusingan. Pengumuman ini dibuat oleh Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing (TWMR), Ron Hogg, yang menyatakan keyakinan beliau terhadap prospek musim akan datang.


ARRC 2025: Chang International Circuit Thailand Bakal Tuan Rumah Tiga Pusingan

Dalam kalendar baharu ini, Chang International Circuit, Thailand akan menjadi tuan rumah kepada tiga pusingan penting, termasuk ujian rasmi pada 23 April, pusingan pembukaan pada 25-27 April, dan pusingan penutup pada 5-7 Disember 2025.


Pusingan kedua akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, Malaysia pada 30 Mei hingga 1 Jun, diikuti dengan pusingan ketiga di Mobility Resort Motegi, Jepun pada 11-13 Julai. Pusingan keempat pula akan diadakan di Litar Antarabangsa Pertamina Mandalika, Indonesia pada 29-31 Ogos.


ARRC 2025: Chang International Circuit Thailand Bakal Tuan Rumah Tiga Pusingan

Menariknya, pusingan kelima masih dalam perbincangan dan akan diumumkan kemudian. Presiden FIM Asia, Stephan Carapiet, dalam kenyataannya menegaskan komitmen ARRC untuk terus mengembangkan sukan permotoran di rantau Asia.


"Kami akan terus berusaha untuk memperluas jangkauan dan memupuk minat dalam kalangan penonton muda terhadap sukan permotoran, di samping memberi inspirasi dan mencungkil bakat-bakat berpotensi di Asia," kata beliau.


Hogg turut menambah bahawa musim 2024 telah membawa pencapaian yang memberangsangkan dari segi pengiktirafan global. Beliau menekankan bahawa ARRC bukan sekadar kejuaraan biasa, tetapi merupakan platform yang mencabar batas teknologi dan inovasi dalam industri sukan permotoran.


Kejuaraan ini akan terus mengekalkan kategori-kategori lumba yang sedia ada termasuk ASB1000, SS600, AP250, dan UB150, dengan sokongan penaja utama TVS Racing. Semua tarikh yang diumumkan adalah tertakluk kepada perubahan, dengan tarikh yang dinyatakan merujuk kepada hari permulaan latihan.



0 komen

Comments


bottom of page