top of page
Writer's pictureMYB

Armani Entertainment Group Perkenal Barisan Artis Baru Dibawah Naungan AEG

Label pengurusan artis terbaharu paling sensasi di Malaysia, Armani Entertainment Group (AEG) telah meganjurkan ‘Media Night & Majlis Berbuka Puasa’ bersama-sama pengamal media tempatan selain mengimarahkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.


“Tujuan utama majlis ini diadakan adalah untuk memperkenalkan secara rasmi barisan artis di bawah naungan AEG serta mengeratkan lagi hubungan kemesraan di antara label (AEG) bersama rakan-rakan media,” kata Dato’ KK Chua, selaku Ketua Pegawai Eksekutif AEG.


Ketua Pegawai Eksekutif AEG, Dato' KK Chua bersama barisam artis baru dibawah pengurusan AEG

Armani Entertainment Group adalah sebuah label pengurusan artis dan label muzik yang bertanggungjawab menjadi wakil dan penasihat profesional bagi pemuzik dan pelakon. Selain itu, AEG juga bertindak sebagai Platform Selebriti Profesional yang memberi jaminan, pulangan modal konsisten dengan menyediakan platform ke dunia hiburan bagi individu berbakat dan berperwatakan menarik.


Sebagai tambahan, AEG juga bertindak sebagai syarikat produksi yang terlibat dalam penghasilan video berkonten untuk TV, media sosial, promosi korporat, iklan dan lain-lain media.


“Misi AEG adalah untuk melahirkan bakat-bakat baharu yang dengan keperibadian baik dan boleh dijadikan sebagai role-model kepada masyarakat umum di Malaysia dengan motto label ‘impian anda kami jadikan kenyataan’.


“Artis-artis di bawah naungan kami terdiri daripada penyanyi serta pelakon baharu yang berbakat besar. Kami juga berbangga menjadi wakil beberapa artis bertaraf A-list tanah air seperti rapper terkenal, MK (K-Clique), pengarah tersohor, Michael Ang, pelakon TV popular, Farah Nabilah, dan hos TV, Elly Ariffin,” jelas Pn. Zeileen Yusnita Abd Jalil, yang merupakan Ketua Pegawai Operasi AEG.


Sepanjang berlangsungnya majlis, hadirin akan dihiburkan dengan beberapa persembahan daripada artis-artis AEG seperti Hasif Upin yang merupakan pelantun lagu ‘Janji Sampai Mati’, pendatang baharu, Yunadia yang muncul dengan single ‘Cha Cha Cinta’, Syauqi Danial membawakan lagu ‘Kekasih Simpananmu’, Emeer Bakri dengan lagu ‘Fantasia’ dan girl group M-pop, COEX, menyanyikan lagu cover Raya ‘Cahaya Aidilfitri’.


Menariknya, majlis itu juga dihangatkan dengan acara cabutan bertuah dengan hadiah utamanya berupa telefon pintar, iPad dan juga TV.


Ujar Dato’ KK Chua lagi: “Perancangan masa hadapan AEG adalah menjadi sebuah syarikat public listed dan peneraju label hiburan tanah air dan Asia Tenggara dalam melahirkan lebih ramai lagi artis-artis berbakat besar di bawah naungannnya.


GALERI



Bersempena malam ‘Media Night & Majlis Berbuka Puasa’, AEG turut melancarkan sebuah single Raya istimewa berjudul ‘Nostalgia Raya’, paduan mantap di antara Hasif Upin dan Yunadia, hasil ciptaan komposer terkenal, Iqie Hugh.


“Lagu ini kami rakamkan sebelum bulan puasa lagi dan mengambil masa selama seminggu untuk disiapkan. Ini merupakan pengalaman pertama saya merakamkan lagu Raya dan seronok dapat menyanyikan lagu Raya sendiri!” kata Yunadia.


Menurut Hasif, “Setelah 2 tahun berdepan dengan pandemik COVID-19, kali ini kita dapat betul-betul beraya kerana dunia telah memasuki fasa pandek. Namun, setelah kehilangan ibu tercinta pada tahun lepas, saya hanya beraya sebatang kara.


"Kehidupan tetap diteruskan dan saya pasrah dengan ketentuan Ilahi. Saya juga ada berita gembira selepas Raya nanti di mana saya akan muncul dengan sebuah single bersama seorang penyanyi legend tanah air, kalau hendak tahu siapa? Kenalah tunggu…


Lagu ‘Nostalgia Raya’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi kesemua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar melalui aplikasi penstriman atas talian - Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.


Manakala MV single Raya ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Armani Entertainment.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page