Pengarah muda berbakat besar, Arjin Uppal berdepan pelbagai kejadian aneh dan menyeramkan sepanjang menjalani penggambaran filem bergenre seram, Musyrik - Api Neraka Menantimu!
Filem terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd itu dibintangi Aeril Zafrel, Ashraf Muslim dan Ruhainies selaku teraju utama. Turut serta, Aishah Ilias, Qaseh Shuhada, Arwan Umar dan Neera Azizi.
Arjin, 33, berkata, banyak kejadian pelik dilalui sepanjang penggambaran filem ini . Antaranya ketika penggambaran babak sewaktu Ruhainies memegang batu nesan yang diambil dari tanah perkuburan, yang dibuat sekitar jam 3 pagi.
“Batu nesan bukanlah props, sebaliknya saya menggunakan batu nesan sebenar diambil dari tanah perkuburan berkenaan bagi merealisasikan babak ini.
“Ia sepatutnya hanya satu babak panjang, tetapi apabila potong babak ini, kamera masih berpusing dan tidak berhenti seolah-olah ada sesuatu yang menggerakkannya,” ujarnya.
Arjin menambah, dia berasa pelik dengan kejadian aneh itu kerana tidak pernah berdepan sebelum ini.
“Bayangkan, kamera masih menyala selepas ‘switch’ ditutup. Hanya selepas bateri dikeluarkan daripada kamera barulah ia berhenti berpusing,” katanya.
Bukan sahaja dirinya berdepan kejadian aneh, kata Arjin, ia turut dialami salah seorang pelakon, Aishah yang melakonkan watak Wati, isteri kepada Aeril.
“Ia membabitkan babak Aishah berbaring didalam kubur. Secara tiba-tiba, seluruh badan Aishah ditumbuhi gelembung gatal dan penggambaran tidak dapat diteruskan,” tambahnya.
Selaku pengarah, Arjin berkata, dia tetap bertenang ketika berdepan kejadian aneh membabitkan Aishah itu.
“Aishah terpaksa dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan dengan segera. Keadaan Aishah hanya okay selepas berehat dan penggambaran hanya disambung semula pada keesokan harinya.
“Saya percaya kejadian aneh yang menimpa Aishah adalah gangguan mistik,” katanya.
Mengulas mengenai lokasi, Arjin berkata, penggambaran filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! membabitkan dua lokasi iaitu rumah kampung lama yang tidak berpenghuni dan tanah perkuburan.
“Saya masih ingat kami diminta penjaga menyiapkan babak di rumah lama berkenaan sehingga jam 12 tengah malam.
“Namun, babak dalam rumah hanya selesai pada jam 2 pagi. Seterusnya, kami terus ke lokasi tanah perkuburan.
“Ketika di tanah perkuburan, saya dapatkan merasakan sesuatu menyentuh belakang leher. Saya percaya ia gangguan mistik, tetapi saya buat tak tahu,” katanya.
Menurut Arjin, dia turut berdepan dengan kejadian aneh ketika penggambaran di kawasan hutan.
“Saya pergi belakang rumah untuk mencuci tangan, tetapi secara tiba-tiba, air paip berhenti mengalir.
“Perasaan saya bercampur berbaur, tetapi saya perlu kuatkan semangat dan bersabar berdepan satu demi satu kejadian aneh,” katanya.
Mengulas adakah kru juga berdepan gangguan mistik, Arjin berkata, mereka tidak terlepas diganggu ketika penggambaran di kawasan hutan.
“Kawasan hutan itu hanya di belakang rumah lama tidak berpenghuni itu. Sebelum penggambaran, kru masuk hutan untuk memasang lampu terlebih dahulu.
“Secara tiba-tiba, lampu dipasang berkelip-kelip. Mujur, kru tidak panik dan buat tidak tahu hingga lampu menyala semula, sebelum penggambaran dimulakan,” katanya.
Filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! mula menjengah pawagam seluruh Malaysi pada 7 Julai depan. Trailer rasmi filem boleh ditonton menerusi saluran YouTube/WhiteMerpatiMovies.
Comments