Selepas mencipta sejarah sebagai filem dokumentari terlaris untuk penyanyi solo di Indonesia, “All Access to Rossa 25 Shining Years” kini bakal menemui penonton di Malaysia, Singapura, dan Brunei Darussalam mulai 18 Oktober 2024.
Dokumentari ini, yang diarahkan oleh Ani Ema Susanti dan diterbitkan oleh Time International Films, Inspire Pictures, dan Sinemaku Pictures, mengisahkan perjalanan kerjaya Rossa sebagai Ratu Pop Indonesia.
Filem ini membawa penonton menyelami sisi lain Rossa Roslaina Handiyani atau Datuk Seri Rossa yang jarang didedahkan, bermula dari awal kerjayanya, perjuangannya sebagai ibu, hingga kisah di sebalik konsert solo “25 Shining Years Concert” pada tahun 2022 yang menandakan 25 tahun penglibatannya dalam industri muzik.
Pengarah filem, Ani Ema Susanti, menyatakan, “Menerusi dokumentari ini, orang ramai akan melihat figura Rossa dari pelbagai sudut – sebagai Ratu Pop Indonesia, ibu, dan usahawan wanita.”
P. Intan S., pengurus Rossa dan penerbit eksekutif filem ini, menambah, “Dokumentari ini melengkapkan semua pencapaian Rossa dalam lebih 25 tahun berkarya. Ia bagaikan ‘cherry on top’ kerjaya legasi Rossa.”
Rossa turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokongnya sepanjang kerjayanya. Beliau berharap dokumentari ini dapat menjadi inspirasi kepada semua, khususnya bakat muda dalam industri muzik.
Filem ini juga mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia. Menteri Sandiaga Salahuddin Uno berharap dokumentari ini dapat memberi impak positif kepada industri perfileman dan muzik Indonesia.
“All Access to Rossa 25 Shining Years” diterbitkan oleh Inarah Syarafina, Sugi Compros, Boy Rianto Latu, dan Alfreno Kautsar Ramadhan. Selain menjadi bintang utama, Rossa juga merupakan penerbit eksekutif bersama Irwan D. Mussry, P. Intan S., Yahni Damayanti, Umay Shahab, dan Prilly Latuconsina.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai filem ini, ikuti akaun Instagram @rossaconcert, @inspire_idn, @sinemaku.pictures, dan @antennaentertainments.
Comments