Keceriaan sambutan Hari Raya Kumpulan Syarikat Suria KLCC berlanjutan ke Alamanda, Putrajaya apabila pusat membeli-belah tersebut meraikan lebih dari 30 orang anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Bakti Al-Kausar, Bangi dengan aktiviti membeli-belah persiapan Hari Raya pada 21 April 2022 lalu sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Kanak-kanak yang berusia antara 6 hingga 17 tahun itu tiba bersama Pengerusi Rumah Bakti Al-Kausar, Haji Razali Haji Basri serta Timbalan Pengerusi, Abu Bakar Abdul Rafar, disambut mesra Pengurus Besar Pusat Beli Belah Alamanda, Pang Sook Fong.
Pihak pengurusan Alamanda kemudiannya membawa kanak-kanak tersebut membeli-belah sepasang kasut raya dan sut baju raya. Mereka kemudiannya dibawa ke Centre Court di mana pusat beli-belah itu telah mencipta semula dekorasi kampung à la “Raya di Dusun Atuk” dan dihiburkan dengan persembahan Hari Raya Zapin.
Majlis menjadi lebih bermakna apabila rakan niaga Alamanda turut menyumbangkan barangan Hari Raya kepada kanak-kanak itu. Selepas ucapan alu-aluannya, Pang ditemani oleh rakan niaga Alamanda seperti Gene Martino, Qutn Cotton dan Dunkin' Donuts di mana kanak-kanak tersebut diberikan duit raya, persalinan baju raya daripada Gene Martino, persalinan baju raya daripada Qutn Cotton dan sekotak donat dari Dunkin' Donuts.
Semasa berbuka puasa, anak-anak yatim tersebut tidak dapat menahan kegembiraan serta kesyukuran kerana dibenarkan memilih apa sahaja yang mereka mahu dari menu di Secret Recipe.
GALERI
Pengarah Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien berkata, “Sebagai satu-satunya pusat membeli-belah di Putrajaya, kami menyedari keperluan untuk memainkan peranan penting dalam melibatkan diri dan menyokong masyarakat secara aktif, terutamanya kanakkanak yang tidak bernasib baik. Walaupun beraya di samping rakan-rakan dan keluarga adalah penting, kita mesti sentiasa mengingati bahawa tidak ramai yang mempunyai keistimewaan ini. Sehubungan itu, kami berbesar hati untuk berkongsi kemeriahan Hari Raya bersama anak-anak Rumah Bakti Al-Kausar.”
Pengerusi Rumah Bakti Al-Kausar, Haji Razali Haji Basri berkata, “Sebagai penjaga kepada anak-anak, kami berterima kasih kepada Pusat Beli Belah Alamanda kerana telah memberikan kegembiraan kepada anak-anak ini dan memberi mereka peluang menyambut bulan Syawal dengan penuh kegembiraan. Layanan istimewa daripada pihak Alamanda ini begitu bermakna untuk kami terutama kepada kanak-kanak ini."
Rumah Bakti Al-Kausar ialah rumah kebajikan yang diasaskan pada tahun 2011 yang menyediakan tempat perlindungan kepada kanak-kanak yang memerlukan terutamanya anak yatim. Rumah itu kini menempatkan 36 kanak-kanak.
Comments