AJL40 Makin Dekat! Kuantan Jadi Pentas Pertama Finalis Dekati Peminat
- oleh Editor MYBUZZ
- 19 Jun 2026 1:35 pm
KUANTAN: Demam Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) kini bermula dengan rasminya! Peminat seni tanah air di Pantai Timur bertuah apabila Kuantan dipilih sebagai destinasi rasmi pembuka tirai bagi siri Jelajah Meet & Greet Yang Ke-40 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 20 Jun 2026. Siri jelajah ikonik ini menandakan detik bersejarah sempena sambutan ulang tahun ke-40 anugerah muzik paling berprestij di Malaysia.
Buat julung kalinya dalam tempoh empat dekad, para finalis AJL akan turun padang ke beberapa lokasi strategik di seluruh negara untuk membawa kehangatan anugerah tersebut terus kepada rakyat Malaysia.
Bertemakan semangat #GENERASISELAMANYAJUARA, acara yang bertempat di Kuantan City Mall, Pahang ini akan bermula dari jam 12.00 tengah hari hingga 4.00 petang. Kehadiran siri jelajah ini pastinya membuka peluang keemasan kepada orang ramai untuk berinteraksi dengan artis kegemaran mereka di luar pentas utama.
Antara barisan finalis hebat AJL40 yang disahkan bakal memeriahkan hentian pertama di Kuantan termasuklah Wani Kayrie, yang akan mempertaruhkan lagu Cak Cak Cekuk. Turut sama ialah Reynald Guntabid dengan lagunya Lumangad Oku Dika, serta kumpulan K.O.I yang mewakili lagu Tiwikarma.

Orang Pahang, anda bertuah! Finalis AJL40 ‘Turun Padang’ gegarkan Kuantan 20 Jun ini.
Selain itu, gabungan trio Kmy Kmo, Luca Sickta dan SalamMusik juga tidak ketinggalan untuk mencuri perhatian menerusi lagu Ke Mana Ni. Kehadiran kesemua finalis ini dijangka bakal menghangatkan suasana dan memberikan pengalaman istimewa kepada para peminat yang hadir.
Selain beramah mesra, para pengunjung yang hadir juga berpeluang menyaksikan persembahan eksklusif daripada barisan finalis terbabit yang pastinya bakal menghidupkan aura persaingan pentas AJL di hadapan khalayak ramai.
Pihak penganjur turut menyediakan pelbagai aktiviti interaktif sepanjang acara berlangsung bagi memastikan para peminat pulang dengan kenangan manis. Antara tarikan utama termasuk sesi menandatangani autograf eksklusif bersama para finalis, yang pastinya menjadi peluang istimewa untuk peminat bertemu idola mereka secara lebih dekat.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyertai sesi fotografi bagi mengabadikan momen berharga bersama barisan finalis AJL40. Tidak ketinggalan, pelbagai permainan interaktif turut disediakan, di samping peluang membawa pulang hadiah menarik yang menambahkan lagi kemeriahan acara.
Selepas menggegarkan Pahang, siri jelajah penuh keterujaan ini akan meneruskan destinasinya ke Johor Bahru pada 18 Julai 2026, sebelum melabuhkan tirai jelajah di Kuala Lumpur pada 25 Julai 2026 bagi membawa pengalaman AJL40 lebih dekat kepada pencinta muzik seluruh negara.
Siri Meet & Greet Yang Ke-40 ini dibawakan khas oleh McDonald’s Malaysia dan Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia, dengan kerjasama Volvo Car Malaysia selaku rakan bersama yang turut membawa kempen kesedaran keselamatan automotif.
Menjelang malam kemuncak yang dinanti-nantikan, pelbagai lagi pengisian menarik termasuk ‘Muzik Lab’ akan diperkenalkan dari semasa ke semasa. Peminat boleh mengikuti perbualan dan perkembangan terkini dengan menggunakan tanda pagar #ROADTOAJL40 di semua platform media sosial rasmi TV3.
