Adira Suhaimi Selami Derita Berkongsi Kasih Menerusi ‘Sayang Orang Sama’
- oleh Editor MYBUZZ
- 27 Feb 2026 2:41 pm
KUALA LUMPUR – Gelaran ‘Ratu OST’ sememangnya cukup sinonim dengan penyanyi bersuara lantang, Adira Suhaimi, yang kini kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan sebuah karya balada kontemporari yang menusuk kalbu. Tampil dengan single terbaharu berjudul “Sayang Orang Sama” terbitan Nova Music Malaysia, naskhah kali ini sarat dengan mesej tentang keikhlasan, penerimaan, dan keberanian seorang wanita dalam melepaskan cinta.
Lagu yang meruntun jiwa ini merupakan hasil sentuhan magis komposer Mas Dewangga dan Jova Devito, dua pengkarya hebat yang sering berentap di pentas final ‘Anugerah Juara Lagu’. Liriknya pula digarap indah dengan kerjasama Dato’ Arisz Abdul Rahman JP.

Gabungan melodi sederhana namun padat dengan emosi ini ternyata bertepatan dengan kekuatan vokal Adira yang sememangnya pakar dalam menyampaikan penceritaan rasa secara tulus dan berlapik.
Menurut Adira, naskhah ini sangat dekat dengan jiwanya kerana ia bukan sekadar kisah cinta yang teruji, sebaliknya sebuah refleksi realiti apabila kasih sayang yang dicurahkan rupa-rupanya tidak sepenuhnya milik kita.
Proses rakaman lagu ini turut membuka ruang buat dirinya untuk lebih memahami erti redha dan berlapang dada untuk melepaskan sesuatu dengan tenang. Tambahnya lagi, kejujuran lirik lagu ini merupakan suara hati buat mereka yang memilih untuk memendam rasa demi menjaga hati pihak lain, sekali gus mewakili mereka yang nampak kuat di luar tetapi rapuh di dalam.
Beliau amat berharap “Sayang Orang Sama” mampu menjadi teman emosi buat mereka yang sedang melalui fasa perhubungan yang sukar dan membantu mereka berdamai dengan perasaan sendiri.

Mengekalkan rekod cemerlangnya yang sering menghiasi latar drama televisyen, kolaborasi bersama Nova Music Malaysia ini turut menyaksikan lagu “Sayang Orang Sama” dipilih sebagai lagu runut bunyi rasmi bagi drama bersiri 30 episod terbaharu berjudul ‘Khianat Yang Terpilih’.
Peminat drama tempatan boleh menyaksikan siri ini yang akan mula bersiaran di slot popular ‘Akasia’ TV3 pada jam 7.00 hingga 8.00 malam bermula 26 Februari 2026.
Bagi peminat yang sudah tidak sabar untuk mendalami emosi naskhah ini, single “Sayang Orang Sama” kini sudah boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital utama. Jangan lupa juga untuk menonton tayangan perdana video muzik rasminya di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada 2 Mac 2026, tepat jam 3.00 petang!
