top of page
Writer's pictureMYB

75 Jam Tanpa Henti, Festival Raya StarVendors Mega Raya Fest 2022 Bakal Catat Rekod Dalam MBOR

Jenama beli belah terbesar tanah air, StarVendors bakal kembali memeriahkan sambutan Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi menerusi penganjuran StarVendors Mega Raya Fest 2022.


Selepas dua tahun tidak dapat dilaksanakan ekoran penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam negara, pastinya kemunculan semula StarVendors Mega Raya Fest memberikan nafas baharu buat usahawan tempatan.

Menariknya, program yang bakal berlangsung pada 22 hingga 25 April ini di Pusat Dagangan Dunia atau World Trade Centre (WTC) bukan lagi 72 jam, tapi 75 jam tanpa henti sekaligus tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR).


Kali ini StarVendors Mega Raya Fest , Festival Gaya Raya telah dipersetujui dan disokong penuh oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan SME Corp Malaysia.

Pengarah Urusan dan Pengasas StarVendors Event Sdn Bhd juga artis versatil popular, Ifa Raziah berkata, matlamat penganjuran kali ini tetap sama seperti sebelumnya iaitu bagi memberi platform kepada usahawan tempatan untuk berniaga.

Ifa berkata, khabar gembira juga apabila tahun ini StarVendors akan menjelajah di beberapa lokasi dalam negara.


StarVendors
Pengarah Urusan dan Pengasas StarVendors Event Sdn Bhd, Ifa Raziah.

“Tujuan utama StarVendors ini adalah untuk memberi platform kepada usahawan berniaga. Tidak kira bangsa apa sekalipun yang mahu berniaga bersama kita di bulan Ramadan ini.

“Seterusnya ikuti kita buat ‘road tour’ higga hujung tahun ini. Itulah tujuannya, sebab kita sudah dua tahun tidak dapat berniaga seperti ini. Bermulanya di WTC ini kita akan bergerak ke beberapa negeri lain seperti Kedah, Pahang, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Berkongsi lanjut, Ifa berkata, StarVendors 75 jam tanpa henti itu memberi peluang pada orang ramai untuk membeli belah tidak kira waktu.

“Kita akan bermula di WTC pada 22 hingga 25 April iaitu minggu ketiga Ramadan selama 75 jam tanpa henti. Kita tak tutup ‘booth’, kalau datang untuk membeli-belah jam tiga pagi pun masih berjalan seperti biasa sehinggaalah tamatnya pada 25 April nanti.


“Kita akan memecah rekod buat pertama kalinya di Malaysia iaitu selama 75 jam dan akan dimasukkan di dalam Malaysia Book of Records. Sebelum ini kita buat 72 jam, tetapi sudah ramai penganjur yang buat.

“Tahun ini , kita mahu pecahkan rekod kita sendiri untuk buat selama 75 jam bermula jam 9 pagi pada 22 April dan akan tamat tepat jam 12 tengahari pada 25 April. Jadi, kita akan buat rekod tersendiri pada StarVendors Mega Raya Fest 2022 yang diadakan di WTC,” katanya.

Tidak hanya memberi peluang pada usahawan tempatan, StarVendors Mega Raya Fest, Festival Gaya Raya bakal menyaksikan pembabitan 55 artis terkenal tanah air yang turut membuka ‘booth’ dan menjual rangkaian produk mereka sendiri. Antaranya, Dato Siti Nurhaliza, Dato AC Mizal, Dato Sri Vida, Dato Aliff Syukri, Hairul Azreen, Hanis Zalikha, Fazura, Fattah Amin, Shahiezy Sam, Syatila Melvin, Dato Fizz Fairuz, Dato Jovian Mandagie, Fad dan Acey Bocey,


“Seramai 55 artis turut bergabung bersama kita selama 75 jam ini termasuk juga vendor usahawan lain yang sudah dua tahun tidak dapat berniaga. Kita juga mengharapkan pengunjung boleh datang beramai-ramai dari seluruh Malaysia termasuk pengunjung dari Brunei dan Singapura untuk membeli-belah di StarVendors Mega Raya Fest, Festival Gaya Raya ini.

“Selain artis, usahawan terkenal juga turut bersama kita. Kita ada rakan penaja sepanjang acara ini berlangsung iaitu Serifa Beauty, Secret Desire, Origina, SugarBomb, Dr. Kayu, Semblance. Juga tidak ketinggalan rakan media iaitu Suke.TV, Ideaktiv dan Suria FM .

“Sekarang ini, semua boleh bawa seluruh ahli keluarga untuk datang ke WTC untuk membelibelah sempena hari raya selepas sekian lama kita tak dapat merasai suasana ini. Selain itu, pengunjung juga boleh bertemu dengan artis kegemaran mereka di sana. Terdapat juga produk-produk terkenal yang boleh didapatkan disini,” katanya.

Mengenai pengisian StarVendors Mega Raya Fest, Ifa berkata kemuncak acara tersebut bakal dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kita akan mengadakan “soft launch” dan pengagihan bubur lambuk pada 22 April bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Mohd Harun seterusnya akan berbuka puasa Bersama dengan anak-anak yatim di WTC.


"Pada 23 April kita akan buat Perasmian bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Ybhg Tan Sri Noh Omar, yang telah memberi persetujuan dan sokongan penuh untuk kita menjalankan StarVendors Mega Raya Fest, Festival Gaya Raya tahun ini. Diikuti majlis berbuka puasa dengan rumah anak yatim yang lain pula disusuli dengan pemberian duit raya buat mereka.

“Hari ketiga adalah hari kemuncak, di mana pada jam 10 atau 11 malam kita menjemput Perdana Menteri untuk merasmikan malam kemuncak dan kita juga akan jemput beliau untuk membuat cabutan bertuah Hadiah Utama yang kita anjurkan. Kita juga akan bersama dengan Perdana Menteri dalam satu sesi lawatan bagi usahawan yang berniaga sepanjang malam itu.

“Kita juga akan mengadakan konsert bersama astis terbabit pada malam kemuncak itu. Dalam perancangan juga, kita mahu buat takbir raya bersama Perdana Menteri sekiranya ia diluluskan. Jika tidak diluluskan mungkin kami akan buat sendiri satu rakaman takbir raya khusus untuk StarVendors,”katanya.


Menariknya lagi, bakal menjadi tarikan buat pengunjung juga adalah hadiah utama bagi cabutan bertuah iaitu berupa dua buah motosikal Yamaha RXZ.

“Pengunjung hanya perlu membuat pembelian serendah RM50 dalam satu resit dari mana-mana gerai jualan yang ada serta membeli produk premium keluaran StarVendors bernilai dari RM10 bagi melayakkan mereka menyertai peraduan Shop & Win Havoc di StarVendors Mega Raya Fest ini.

“Harapan saya agar StarVendors pada tahun ini akan lebih gah, mega dan menarik lagi. Sebab itu ‘tagline’ kita pada tahun ini, ‘Lebih Havoc, Lebih Bergaya, Kali ini Confirm Raya’,” katanya.


Comentários


bottom of page