Seramai 60 usahawan mikro telah menerima manfaat daripada dana zakat Maybank Islamic Berhad melalui Program Kelestarian Perniagaan: Memperkasa Aspek Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus Mikro Enterprise Asnaf 2024 yang berlangsung selama lima hari di Adamson Hotel, Kuala Lumpur.
Para peserta terdiri daripada golongan asnaf dari tujuh buah negeri di Malaysia termasuk Kedah, Perlis, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Terengganu. Program ini dianjurkan oleh Right Track Education dengan sokongan dana zakat daripada Maybank Islamic bertujuan memperkasa usahawan asnaf dengan kemahiran holistik dan pendedahan kepada ekosistem keusahawanan yang sebenar. Program ini berlangsung dari 25 hingga 29 November 2024, dan melibatkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi keusahawanan tempatan.
"Program ini merupakan manifestasi komitmen Maybank Islamic Berhad, dan Right Track Education dalam membangunkan usahawan asnaf yang berdaya saing dan mapan," kata Pengasas merangkap Pengarah Urusan Right Track Education Sdn Bhd, Ragunathan Marthammuthu dalam ucapan penutupnya.
"Kami percaya bahawa dengan memberikan ilmu keusahawanan yang holistik dan mengukuhkan hubungan dengan ekosistem keusahawanan, para peserta akan dapat mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih berkesan," jelas beliau lanjut.
Program pembangunan usahawan yang komprehensif ini telah dikendalikan di bawah bimbingan Pengarah Latihan, Mohd Syariffudin Baddaruldin dari Right Track Education Sdn Bhd. Selebriti terkenal, Fendy Bakri, yang juga merupakan jurulatih bertauliah di Right Track Education, turut menyumbang kepakaran beliau dalam program ini.
Right Track Education Sdn Bhd, selaku penganjur program, telah memastikan setiap peserta menerima bimbingan yang komprehensif dan berstruktur. "Kejayaan program ini dapat dilihat melalui peningkatan prestasi perniagaan para peserta. Kebanyakan mereka telah berjaya meningkatkan hasil jualan dan mengembangkan rangkaian perniagaan mereka," jelas Mohd Syariffudin.
Program ini juga telah memberi penekanan kepada aspek kelestarian perniagaan dalam era digital, memastikan para usahawan dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran semasa.
Kejayaan program ini dapat dilihat melalui kisah Miqdad Bin Hanafi, 38, seorang usahawan makanan dari Kedah yang berjaya meningkatkan pendapatan bulanannya dari RM500 kepada RM3,000 setelah mengaplikasikan strategi pemasaran digital yang dipelajari, khususnya melalui platform TikTok.
Sementara itu, Halimah Binti Bakar, 50, usahawan bakeri dari Pahang turut berkongsi pengalaman positifnya dalam menggunakan platform digital seperti TikTok dan Shopee untuk mengembangkan perniagaannya hasil dari program ini.
Sebagai sokongan tambahan kepada usahawan mikro ini, setiap peserta turut menerima geran tunai bernilai RM1,000 beserta sijil penyertaan. Pemberian geran ini bertujuan untuk membantu mereka mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh sepanjang program latihan tersebut.
Ketua Pengurusan Shariah Maybank Islamic, Munawwaruzzaman Mahmud menjelaskan bahawa Maybank Islamic telah memperuntukkan dana zakat sebanyak lebih RM390,000 untuk program ini. "Ini merupakan salah satu usaha kami untuk mengagihkan zakat secara produktif dan berkesan dalam membantu golongan asnaf mentransformasi diri dalam bidang ekonomi digital," katanya.
Right Track Education Sdn Bhd, sebagai sebuah institusi pendidikan dan latihan yang berpengalaman luas dalam bidang pembangunan keusahawanan, kemahiran perniagaan dan TVET, telah memastikan program ini dilaksanakan dengan pendekatan yang praktikal dan berkesan. Program ini merangkumi pelbagai aspek penting dalam pengurusan perniagaan, termasuk aspek persekitaran, sosial dan tadbir urus yang mampan.
Comments