Majlis penyampaian (Top 500 Consumer Certification Trusty Brand Award), anjuran Majlis Tindakan Pengguna Kebangsaan (MTPN), baru-baru ini berlangsung di Hotel Mandarin Oriental di Kuala Lumpur. Perasmian majlis berprestij ini telah disempurnakan oleh Ybrs. Encik Abu Bakar bin Yusof, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE.
Untuk edisi penganjuran kali ke-empat ini, MTPN dengan teliti memilih 34 syarikat daripada pelbagai industri sebagai pemenang anugerah melalui proses penilaian dan audit yang ketat dan telus. Sehingga kini sebanyak 147 buah syarikat yang telah berjaya menerima panarafan MTPN Top 500 Consumer Certification Trusty Brand Award.
Majlis anugerah itu merupakan acara penting yang menyerlahkan pencapaian jenama terpilih. MTPN memilih jenama ini melalui penilaian dan proses audit yang ketat untuk memastikan kebolehpercayaan dan kualitinya.
Pengiktirafan ini membantu syarikat ini mendapat kepercayaan pengguna dan pengiktirafan negara. Selain dari itu, program berprestij tersebut bertujuan untuk menggalakkan kecemerlangan perniagaan di Malaysia dan mendidik perniagaan tentang kepentingan mengekalkan amalan etika.
Menurut Pengasas Program Top 500, Encik Abdul Malik Bin Jamaran, anugerah itu mengiktiraf syarikat yang memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan boleh dipercayai kepada pengguna. Matlamat anugerah itu adalah untuk menggalakkan kecemerlangan perniagaan dan amalan etika di kalangan syarikat Malaysia.
MTPN turut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang anugerah dan berharap mereka akan terus berinovasi dan berusaha untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada pengguna Malaysia pada masa hadapan.
Pada majlis yang sama Timbalan Presiden 2 MTPN, Encik Noorman Kamsani turut mengumumkan bahawa pasukan pemantau Friendly Muslim World (MFW), sedang berusaha untuk membantu restoran milik bukan Islam yang menggunakan perkataan 'no pork, no lard' dalam mendapatkan pensijilan halal.
Inisiatif ini penting bagi memastikan makanan dan minuman yang ditawarkan benar-benar halal dan tidak mengelirukan orang ramai atau menggantikan Sijil HALAL JAKIM. Logo “Muslim Choice” merupakan langkah pengiktirafan awal untuk diletakkan di premis mereka sebelum mendapat sijil halal yang memenuhi tiga amalan utama iaitu kebersihan, kualiti dan keselamatan premis dan produk.
MFW telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Zajas Sdn Bhd untuk memudahkan proses pensijilan halal. Zajas Sdn Bhd, yang dilantik oleh JAKIM, membantu syarikat memohon pensijilan halal antarabangsa.
Kerjasama ini bertujuan memperkasakan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam pasaran halal global untuk lima tahun akan datang. Sijil halal JAKIM bukan sahaja diiktiraf di Malaysia malah di peringkat global. Produk yang mempunyai pensijilan halal JAKIM mempunyai kelebihan daya saing terutamanya di negara Islam antarabangsa.
Comments