13 Tahun Menyepi, Lucky Joe Buat Kejutan ‘Comeback’ Menerusi Single “Senyum Raya” Sempena Hari Jadi Ke-45
- oleh Editor MYBUZZ
- 21 Feb 2026 3:59 pm
JAKARTA – Selepas hampir 13 tahun menyepikan diri daripada pentas nyanyian, penyanyi dan pencipta lagu berpengalaman, Lucky Joe, akhirnya membuat comeback yang dinanti-nantikan! Kemunculan semula beliau mewarnai industri muzik tanah air digerakkan menerusi pelancaran single Aidilfitri terbaharu yang diberi judul “Senyum Raya”.
Lebih manis, pelancaran rasmi karya ini bertepatan dengan tarikh ulang tahun kelahirannya yang ke-45 pada tahun ini. Beliau menyifatkan naskhah ini sebagai satu momen istimewa dan hadiah buat dirinya sendiri serta para peminat yang merindukan kemunculannya.
Pernah aktif mewarnai industri dari tahun 2000 hingga 2012 dengan penghasilan sembilan buah lagu merangkumi pelbagai genre seperti pop, dangdut, dan poco-poco, Lucky Joe kemudiannya mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia nyanyian.
Bagaimanapun, sepanjang tempoh vakum tersebut, bakat kreatifnya tidak pernah pudar. Beliau rancak menabur bakti di belakang tabir dengan menjadi pengurus artis, penulis skrip drama televisyen, sitkom dan drama TikTok, selain melebarkan sayap ke bidang hartanah dan pengurusan acara.
Hebatnya, beliau turut menghasilkan banyak lagu untuk label rakaman, di mana beberapa daripadanya telah dirakamkan oleh artis terkenal tanah air, walaupun namanya sebagai komposer jarang dipublikasikan.

Kini kembali dengan semangat baharu, single “Senyum Raya” yang telah dilancarkan di 11 platform muzik digital antarabangsa bermula hari ini merupakan sebuah karya berkonsepkan pop yang ringkas, segar, dan sangat mudah diingati.
Menariknya, proses penciptaan dan pengurusan instrumen lagu berdurasi 1 minit 56 saat ini hanya mengambil masa selama 20 hari untuk disiapkan. Lucky Joe secara sengaja merangka lagu raya ini agar lebih pendek dan sederhana supaya melodi santainya dapat diterima dengan mudah oleh pelbagai lapisan masyarakat, bermula daripada golongan Gen-Z sehinggalah ke pendengar dewasa.
Menurut Lucky Joe, single terbaharunya ini membawa mesej keceriaan, keikhlasan memohon maaf, dan mengimbau kehangatan suasana Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman.
Lagu ini mengangkat tinggi nilai kasih sayang dan kemaafan, selari dengan liriknya yang cukup puitis: “Jangan bersedih kerana Raya hapuskan dosa, Saling bermaafan kosong-kosong, Aidilfitri hari mulia,”jelas Lucky Joe.
Naskhah “Senyum Raya” ini diterbitkan oleh Mahardika Production dengan sentuhan susunan muzik oleh Seefar. Bekerjasama dengan label bebas DragonBeat Records, lagu ini turut diedarkan oleh Nadayana Music dan mendapat sokongan padu Rentak Sejuta sebagai rakan promosi.
