KUALA LUMPUR - Peminat muzik elektronik dance (EDM) tempatan bakal dimanjakan dengan persembahan 12 artis antarabangsa yang pertama kali mengadakan persembahan di Malaysia menerusi penganjuran Festival Unstop Music 2025 (UMF2025) pada 8 Februari ini.
Festival seharian yang akan berlangsung di The Landing @ KL Base, Sungai Besi ini akan menampilkan barisan DJ terkenal dari pelbagai negara termasuk Stan Christ dan Act of Rage dari Belanda yang akan menjadi artis utama festival tersebut.
Pengurus pentas, Georgia berkata, kesemua artis antarabangsa yang akan membuat persembahan dalam UMF2025 belum pernah tampil di Malaysia sebelum ini.
"Ini merupakan penampilan sulung mereka dan sudah pasti akan menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh peminat muzik dance di Malaysia dan juga rantau ini," katanya semasa sidang media di Restoran Fathimaa Cheras, Warisan Cityview.
Festival yang bermula dari jam 3 petang hingga 1.30 pagi ini turut menampilkan artis-artis hebat seperti Animosity dari Australia, Byorn dari Belgium, D-Fence dari Belanda, Dvrgnt dari Australia, duo Primeshock, MC DL, Jayron dan Wasted Penguinz.
Artis serantau yang akan membuat persembahan termasuk Cyndi dari Taiwan, Pie Star pengasas Hardstyle Taiwan, Ph4ntam dari Melbourne dan DJ tempatan, Ruzz dari Kuala Lumpur.
Pengarah festival, Benny Khiew berkata, UMF2025 akan mengubah budaya festival dengan menampilkan artis-artis utama sejak awal acara, berbeza dengan festival-festival lain yang biasanya menampilkan artis utama di penghujung acara.
"Kami juga akan memperkenalkan pembawa acara antarabangsa yang berpengalaman dari Belanda untuk memberikan suasana yang berbeza kepada festival ini," tambahnya.
Tiket-tiket untuk Festival Unstop Music 2025 kini dijual melalui laman sesawang rasmi www.ticketmelon.com/mxe/unstopmusicfestival dengan harga bermula dari RM148 untuk tiket Kemasukan Am (GA) Fasa 1 dan RM188 untuk tiket VIP Fasa 1.
Pihak penganjur, MXE Entertainment telah mendapat kelulusan daripada Puspal, PDRM dan DBKL, dan menjamin keselamatan pengunjung dengan kehadiran pasukan keselamatan, RELA dan pihak polis.
Festival ini mendapat sokongan daripada Rhythm Revolt, Sky Events Asia dan Anaz KL, dengan rakan kongsi utama termasuk Tap Tap, Pop & Dope dan Hardstyle Republic. Mercure Hotel Kuala Lumpur Trion merupakan rakan penginapan rasmi, manakala Rentak Sejuta dan FLY FM adalah rakan media rasmi.
コメント