KUALA LUMPUR – Pertubuhan Global Hayat menggerakkan Misi Kemanusiaan Musim Sejuk 2026 Rentas Sempadan dengan sasaran agihan dana sebanyak RM1 juta bagi memanfaatkan seramai 23,000 penerima di empat buah negara iaitu Palestin, Syria, Lubnan dan Yaman. Inisiatif ini digerakkan khusus bagi membantu masyarakat yang terjejas akibat konflik dan krisis kemanusiaan, termasuk keluarga pelarian, anak-anak yatim, warga emas serta golongan rentan yang berdepan kesukaran mendapatkan keperluan asas.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Global Hayat, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, kedatangan musim sejuk bukan sekadar perubahan cuaca biasa, sebaliknya menjadi ujian getir yang mengancam nyawa jutaan pelarian yang hidup dalam serba kekurangan. Tambah beliau, situasi semasa menjadi semakin genting apabila sebahagian kawasan penempatan turut dilanda banjir kilat yang memusnahkan tempat perlindungan mereka, sekali gus meningkatkan keperluan mendesak terhadap bekalan makanan, pakaian sejuk, selimut dan bahan api.
Bagi menjayakan misi lapangan yang dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 11 Disember 2026, Global Hayat akan bergabung tenaga bersama tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan iaitu Kelab Perwira Malaysia, Komuniti Dakwah Tarbiah dan Nisa Al-Khair. Delegasi seramai 12 anggota dari Malaysia itu akan turun secara langsung ke Syria dan Lubnan untuk mengagihkan bantuan serta meninjau sendiri keadaan komuniti pelarian Palestin di sana.

Selain misi lapangan di Syria dan Lubnan, penyaluran bantuan kemanusiaan turut diperluas ke Palestin dan Yaman menerusi wakil serta rangkaian kerjasama strategik dengan NGO rakan pelaksana di lokasi terbabit. Berdasarkan pecahan sasaran keseluruhan 23,000 penerima manfaat, Palestin mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 10,000 orang, diikuti Syria (6,000 orang), Lubnan (4,000 orang) dan Yaman (3,000 orang).
Menurut Muhd Farhan, penderitaan rakyat Palestin tidak seharusnya dilihat terhad di Gaza semata-mata, kerana terdapat jutaan pelarian Palestin yang telah menetap di kem-kem di Syria dan Lubnan sejak beberapa generasi lalu. Justeru, beliau menegaskan bahawa bantuan kemanusiaan tidak boleh bersifat bermusim, sebaliknya perlu disusuli komitmen jangka panjang merangkumi akses pendidikan, penjagaan kesihatan dan pemerkasaan komuniti demi memulihkan kehidupan mereka.
Dalam perkembangan sama, Global Hayat turut mengumumkan pelantikan pasangan selebriti, Raqib Majid dan Tasha Manshahar, serta personaliti media terkenal, Fedtri Yahya sebagai Ikon Kemanusiaan Global Hayat. Langkah strategik itu bertujuan memanfaatkan pengaruh dan platform komunikasi ketiga-tiga tokoh berkenaan untuk menyebarluaskan kesedaran awam, mendidik masyarakat serta menggerakkan kempen kemanusiaan berimpak tinggi bagi jangka masa panjang.
“Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan seluruh krisis kemanusiaan dunia atau mengubah seluruh dunia, tetapi kita tidak boleh membiarkan mereka menghadapinya sendirian dan kita mampu mengubah kehidupan seseorang melalui keprihatinan kita,” katanya di sidang media yang diadakan baru-baru ini.

Sehubungan itu, Pertubuhan Global Hayat menyeru seluruh rakyat Malaysia, sektor korporat dan institusi berkaitan untuk bersama-sama menyumbang bagi menjayakan misi berkenaan. Orang ramai yang prihatin boleh menyalurkan sumbangan secara terus ke akaun rasmi Maybank Pertubuhan Global Hayat bernombor 5622 6361 4906 atau melayari laman web rasmi di misihayat.com.

