Wayang

Treler ‘Rajakkal’ Dilancar, Pertemuan Lima Sahabat Cetus Huru-Hara

Oleh

Treler ‘Rajakkal’ Dilancar, Pertemuan Lima Sahabat Cetus Huru-Hara

KUALA LUMPUR – Pertemuan semula selepas sedekad berpisah sepatutnya menjadi detik penuh nostalgia, namun bagi lima sahabat dalam filem terbaharu Rajakkal, janji lama yang cuba ditunaikan bertukar menjadi permulaan kepada pelbagai kekecohan tidak dijangka.

Menjelang tayangannya pada 10 Disember depan, Shaiz Films dan Dee Jam Studio melancarkan treler rasmi filem komedi persahabatan berkenaan semalam, sekali gus memberikan gambaran awal mengenai kisah penuh humor, romantik dan pengembaraan.

Mengangkat persoalan mengenai sejauh mana seseorang benar-benar mengenali sahabat yang membesar bersamanya, Rajakkal membawa penonton mengikuti perjalanan lima rakan lama yang cuba menghidupkan semula kenangan zaman persekolahan.

Semuanya bermula apabila Kutty, Saami, Puli, Papa dan Gaja yang pernah menulis surat kepada diri sendiri ketika masih bersekolah, berjanji untuk berkumpul semula selepas 10 tahun bagi membuka sebuah kapsul masa.

Namun, rancangan yang pada awalnya kelihatan mudah bertukar rumit apabila tiada seorang pun daripada mereka dapat mengingati kata laluan yang diperlukan untuk membuka kapsul berkenaan.

Usaha mencari jawapan akhirnya membawa mereka mengharungi satu malam penuh keputusan terburu-buru, pertemuan tidak dirancang serta kemunculan semula konflik dan perasaan lama yang selama ini terpendam.

Treler ‘Rajakkal’ Dilancar, Pertemuan Lima Sahabat Cetus Huru-Hara

Persahabatan Diuji Perubahan Masa

Lebih daripada sekadar mengundang tawa, Rajakkal turut menyentuh realiti persahabatan apabila kehidupan, kerjaya, kewangan dan hubungan peribadi mengubah seseorang setelah bertahun-tahun membawa haluan masing-masing.

Walaupun sudah melalui pelbagai pengalaman hidup, kelima-lima sahabat berkenaan masih mudah kembali kepada perangai lama setiap kali berkumpul, seolah-olah masa tidak pernah mengubah hubungan mereka.

Filem ini menampilkan Irfan Zaini sebagai Kutty, Thevaguru Suppiah (Saami), Ravin Rao Santheran (Puli) dan mendiang Parvin Nair Surendran (Gaja).

Sementara itu, C. Martin Raj bukan sahaja bertanggungjawab sebagai penulis skrip dan pengarah, malah turut memegang watak Papa, sekali gus melengkapkan kumpulan lima sahabat yang menjadi tunjang penceritaan.

Treler ‘Rajakkal’ Dilancar, Pertemuan Lima Sahabat Cetus Huru-Hara

Irfan Zaini Tampilkan Sisi Berbeza

Bagi Irfan, peluang membawakan watak Kutty menjadi pengalaman menarik dalam perjalanan seninya yang merangkumi penglibatan dalam produksi berbahasa Tamil di Malaysia dan India.

Pelakon yang pernah muncul menerusi Pulanaivu, Dum Dum Dumeel dan Naam Katra Isai itu turut mempunyai pengalaman membintangi produksi India seperti Kuruvi dan The Greatest of All Time.

Menurut Irfan, kekuatan watak Kutty terletak pada keinginannya untuk mempertemukan semula rakan-rakan lama walaupun pendekatan yang digunakan akhirnya menimbulkan pelbagai masalah.

Di sebalik sikapnya yang penuh keyakinan dan petah memujuk, Kutty sebenarnya menyimpan kerinduan terhadap hubungan persahabatan yang pernah terjalin ketika mereka masih muda.

“Datanglah untuk ketawa. Mana tahu, dalam lima sahabat ini, anda nampak perangai geng sendiri,” katanya menerusi kenyataan media.

Irfan turut berharap penonton yang mengenalinya menerusi filem Melayu akan memberikan peluang kepada Rajakkal, sekali gus mengenali sisi lakonannya dalam karya berbahasa Tamil.

Penggambaran Di Sekolah Lama Bangkitkan Kenangan

Dalam pada itu, C. Martin Raj mengakui penghasilan Rajakkal mempunyai makna peribadi apabila sebahagian babak zaman persekolahan dirakam di sekolah lamanya sendiri.

Pengalaman kembali ke lokasi yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupannya itu bukan sahaja membangkitkan nostalgia, malah membuatkan beliau melihat semula perjalanan hidup dari perspektif berbeza.

Menurut Martin, pengalaman berkenaan turut mempengaruhi cara beliau mengangkat hubungan persahabatan dalam filem itu, khususnya mengenai kenangan yang kekal bersama seseorang meskipun masa terus berlalu.

Beliau berharap Rajakkal bukan sahaja mencuit hati penonton, tetapi turut mendorong mereka mengenang kembali zaman persekolahan serta menghubungi sahabat yang sudah lama tidak ditemui.

Di Pawagam 10 Disember

Rajakkal merupakan filem cereka sulung terbitan Shaiz Films yang diterbitkan bersama Dee Jam Studio, manakala Komet Productions bertindak sebagai pengedar.

Filem berbahasa Tamil yang dilengkapi sari kata Bahasa Malaysia itu dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 10 Disember 2026.

Menggabungkan elemen komedi, percintaan dan pengembaraan, karya berkenaan cuba mengetengahkan sisi persahabatan yang dekat dengan kehidupan masyarakat, terutama mereka yang pernah melalui pengalaman membesar bersama sekumpulan rakan karib.

Dalam kehidupan yang semakin sibuk, Rajakkal membawa satu persoalan yang cukup dekat dengan realiti: apabila sahabat lama kembali bertemu, adakah hubungan mereka masih sama atau sudah berubah bersama perjalanan masa?

, , , , , , ,