KUALA LUMPUR – Jenama mi segera terkemuka, Gardenia NuMee, meneruskan kerjasama dengan pelakon popular Fasha Sandha sebagai duta jenama untuk tahun ketiga berturut-turut.

Langkah ini diambil berikutan keserasian beliau dengan pengguna serta imej kekeluargaan yang dekat di hati rakyat Malaysia. Menariknya, kerjasama kali ini turut menampilkan adik beliau yang juga pelakon, Elisya Sandha, yang diperkenalkan secara rasmi sebagai Rakan Jenama baharu.

Penglibatan dua beradik ini mencerminkan hubungan kekeluargaan yang rapat dalam kehidupan seharian. Pendekatan tersebut sekali gus memperkukuh usaha Gardenia NuMee untuk mendekati masyarakat pelbagai peringkat umur, daripada golongan keluarga hingga ke generasi muda.
Menurut Eksekutif Pemasaran Gardenia NuMee, Ida Nadiana Buang, kesinambungan kerjasama ini adalah berdasarkan kejayaan Fasha yang berkesan dalam menonjolkan personaliti mesra dan nilai kekeluargaan sepanjang dua tahun lalu.
Syarikat itu menjelaskan bahawa kehadiran Elisya bakal membawa dimensi baharu yang lebih segar. Pendekatan ini direka khas bagi menarik minat generasi muda melalui kandungan media sosial, inisiatif digital, dan aktiviti interaktif yang relevan dengan gaya hidup aktif mereka. Keakraban sebenar antara Fasha dan Elisya turut memberi kelebihan tersendiri dalam menyampaikan mesej kebersamaan dan merapatkan hubungan antara generasi.
Seiring dengan pengumuman ini, Gardenia NuMee turut memberi tumpuan kepada rangkaian Signature mereka, iaitu Signature Tom Yam dan Signature Laksa Kari. Varian Tom Yam menawarkan gabungan rasa pedas dan masam seimbang dengan kuah berkrim, manakala Laksa Kari hadir dengan kuah pekat kaya aroma rempah. Kedua-duanya dilengkapi mi bertekstur kenyal yang direka khas untuk memenuhi cita rasa tempatan dalam bentuk hidangan yang praktikal.
Bagi memberi inspirasi kepada pengguna, Gardenia NuMee bersama Fasha dan Elisya merancang untuk berkongsi pelbagai idea resipi kreatif menggunakan lima varian utama mereka, iaitu Ayam, Mi Goreng Asli, Kari, Laksa Kari, dan Tom Yam.
Sejak dilancarkan pada tahun 2022, jenama yang berteraskan slogan “Hanya Ini Yang Anda Perlukan” ini terus komited dalam menawarkan hidangan ringkas dan enak, sekali gus mengukuhkan aspirasinya sebagai “Jenama Malaysia untuk Malaysia”.

