Ikuti Kami:

Daripada Perlumbaan Ke Perniagaan, FNF Motorsports Garis Pelan Jangka Panjang

Daripada Perlumbaan Ke Perniagaan, FNF Motorsports Garis Pelan Jangka Panjang

SEPANG: Berawal daripada idea yang direalisasikan dalam tempoh hanya tujuh hari, FNF Motorsports kini mengorak langkah berani melangkah keluar daripada batasan litar perlumbaan tempatan.

Pasukan yang diasaskan oleh usahawan muda, Ali Imran Che Ahmad Shakri, melancarkan pelan jangka panjang bagi mentransformasikan sukan permotoran menjadi sebuah ekosistem perniagaan, pelancongan sukan (sport tourism), dan gaya hidup bernilai tinggi.

Daripada Perlumbaan Ke Perniagaan, FNF Motorsports Garis Pelan Jangka Panjang

Pengasas FNF Motorsports; Ali Imran Che Ahmad Shakri mahu perkenal FNF Motorsports sebagai platform baharu gabung perniagaan dan gaya hidup.. 

 

Buka Peluang Bisnes Daripada Litar

Berteraskan falsafah “Built in 7 Days. Built for the Future”, FNF Motorsports menjadikan tempoh penubuhan yang pantas itu sebagai simbolik keberanian mengambil peluang dan ketangkasan membuat keputusan dalam perniagaan.

Menurut Ali Imran, FNF tidak melihat sukan permotoran sekadar pertandingan mengejar kejuaraan, sebaliknya sebagai platform komersial yang berpotensi menghasilkan pelbagai aliran pendapatan baharu.

Antara fokus jangka panjang syarikat merangkumi penerokaan industri automotif termasuk Permit Import (AP), penganjuran acara permotoran milik sendiri, penajaan, serta model kerjasama terbuka dengan pihak ketiga.

“Dalam perniagaan, kita tidak boleh sentiasa menunggu segalanya sempurna baru mahu bermula. FNF Motorsports dibina dalam tujuh hari, tetapi apa yang mahu kami bangunkan selepas ini adalah sesuatu yang jauh lebih besar dan mampan untuk jangka panjang,” katanya.

Pacu Pelancongan Sukan & Gaya Hidup

Bagi mengukuhkan kedudukannya, FNF Motorsports turut menyasarkan penglibatan aktif dalam sektor pelancongan sukan dengan menggabungkan elemen perlumbaan bersama sektor perhotelan, kulinari, fesyen, hiburan, serta kandungan digital. Langkah ini bertujuan menarik kehadiran peminat, pelancong tempatan mahupun antarabangsa, sekali gus merancakkan ekonomi setempat.

Menerusi pendekatan gaya hidup (lifestyle), FNF berhasrat membina identiti jenama yang lebih rapat dengan generasi muda dan komuniti automotif.

“Kami bukan sekadar mahu berlumba, kami mahu membina gaya hidup. Apabila konsep ini dibina dengan betul, pengguna bukan sahaja membeli produk, tetapi mereka melabur dalam pengalaman, aspirasi, dan identiti jenama tersebut,” jelas Ali Imran.

Selain itu, FNF turut bercita-cita untuk beralih daripada status peserta perlumbaan kepada pemilik dan penganjur platform pertandingan permotoran sendiri pada masa hadapan bagi melahirkan motorsports property yang berharga.

Ali Imran Che Ahmad Shakri

FNF Motorsports sasar untuk buka lembaran baharu dalam pembangunan ekosistem sukan permotoran Malaysia. – Majlis perasmian FNF Motorsports disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Dr. Shahidan Kasim di Litar Antarabangsa Sepang.

 

Perkasa Anak Muda Menerusi Akademi TVET

Menyedari pertumbuhan industri memerlukan modal insan yang berkemahiran, FNF Motorsports merangka cadangan penubuhan Akademi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Akademi ini akan memberi tumpuan kepada kemahiran teknikal automotif dan sukan permotoran, merangkumi latihan kejuruteraan, mekanik, hingga kepada pengurusan pasukan litar.

“Jika mahu membina industri permotoran yang sebenar, kita tidak boleh hanya membina jentera dan pasukan sahaja. Kita perlu membina manusianya. Melalui TVET, kami mahu anak muda melihat sukan ini sebagai kerjaya yang menjamin masa depan, bukan sekadar hobi,” tegas beliau.

Mengamalkan pendekatan “build the brand along the way”, FNF Motorsports kini mengalu-alukan penglibatan rakan korporat, pelabur, dan penaja untuk bersama-sama menjayakan ekosistem perniagaan sukan permotoran negara.

Loading...