16 Tahun Menyimpan Luka? Emma Suhaimi Curah Perasaan Dalam ‘Tersakiti’
- oleh Editor MYBUZZ
- 13 Aug 2026 7:22 pm
KUALA LUMPUR – Selepas sekian lama menyepi daripada radar industri muzik tempatan, bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Emma Suhaimi, kini membuat kemunculan semula menerusi single terbaharu yang menyentuh jiwa berjudul Tersakiti.
Lagu berentak balada ini bukan sekadar naskhah putus cinta biasa, sebaliknya sarat dengan mesej kesedaran tentang kepentingan mencintai diri sendiri dan keberanian melepaskan diri daripada cengkaman hubungan cinta yang toksik.
Lebih meruntun jiwa, Emma mendedahkan bahawa penghayatannya dalam lagu ini didorong oleh pengalaman peribadi memendam kekecewaan selama hampir 16 tahun.

“Kamu buat aku nyaman tapi tak bisa aku genggam” – Lirik yang buat ramai sebak. Emma Suhaimi mahu ‘Tersakiti’ jadi teman buat mereka yang sedang terluka.
“Saya tidak mahu menipu. Saya sendiri pernah melalui pengalaman yang menyakitkan dan mungkin itu juga antara sebab saya memilih lagu ini. Kekecewaan yang saya lalui selama hampir 16 tahun membuatkan saya lebih memahami setiap bait lirik yang dinyanyikan,” jelas Emma.
Beliau turut menambah bahawa kesedihan tidak selalunya perlu dizahirkan dengan linangan air mata, kerana ketenangan juga mampu menyampaikan rasa yang jauh lebih mendalam.
Menurut Emma lagi, lirik yang paling dekat dengan hatinya adalah bait yang berbunyi: ‘Kamu buat aku nyaman tapi tak bisa aku genggam’. Baginya, lirik tersebut menyedarkan kita tentang hakikat bahawa tidak semua perkara yang membahagiakan akan menjadi milik kita pada akhirnya, dan manusia perlu belajar melepaskan sebelum rasa sakit menjadi bertambah parah.
Sentuhan Magis Komposer Seberang, Ilham Baso
Bagi melengkapkan kemunculan semulanya ini, Emma telah bekerjasama dengan komposer ternama dari Indonesia, Ilham Baso, yang bertindak mencipta sepenuhnya naskhah Tersakiti. Ilham sebelum ini cukup dikenali di Malaysia selepas mencetuskan fenomena menerusi lagu hit Menjaga Jodoh Orang Lain nyanyian Ara Johari.
Bercerita mengenai proses rakaman, Emma memuji sikap fleksibel Ilham yang sangat memahami karakter suaranya dan memberi kebebasan penuh untuk meluahkan emosi mengikut keselesaan sendiri, sekali gus menjadikan hasil rakaman kedengaran lebih jujur.

Emma Suhaimi kembali dengan lagu ciptaan Ilham Baso berjudul ‘Tersakiti’
Bagi pelantun suara ini, cabaran paling besar sepanjang merakamkan lagu tersebut bukanlah soal teknikal vokal semata-mata, tetapi tanggungjawab berat untuk memastikan roh dan emosi kesedihan itu benar-benar ‘sampai’ ke lubuk hati pendengar.
Menerusi naskhah ini, Emma berharap ia mampu menjadi ‘suara’ dan teman kepada sesiapa sahaja yang sedang bergelut memendam luka secara sendirian.
“Kalau kita sudah tahu berada dalam hubungan yang toksik, segeralah tinggalkan sebelum kita menjadi lebih ‘tersakiti’. Kadang-kadang kita terlalu lama bertahan kerana berharap keadaan akan berubah, sedangkan akhirnya hanya diri sendiri yang semakin terluka,” pesannya.
Single Tersakiti yang merupakan terbitan Nova Music Malaysia kini boleh distrim di semua platform penstriman digital bermula Jumaat, 14 Ogos 2026. Para peminat juga boleh menonton video muzik rasminya menerusi saluran YouTube Nova Music Videos pada hari yang sama, jam 3.00 petang.
