Yad-Z Cipta Kejutan, Ranisha Kuasai Pentas! Aliff Kimiey, Qilo Ucap Selamat Tinggal
- oleh Editor MYBUZZ
- 10 Aug 2026 5:33 pm
SHAH ALAM – Saingan konsert minggu ketujuh program realiti Big Stage Rocketfuel yang berkonsepkan Assignment Analog To Ultra telah menyaksikan pertarungan sengit antara lapan peserta bagi merebut tiket ke pentas akhir.
Membawa tema Back To Basic : Traditional Song, konsert separuh akhir ini menuntut para peserta menterjemahkan semula lagu-lagu berirama tradisional untuk dinilai oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Hael Husaini, Aisha Retno, dan Akim Ahmad.

Ranisha angkat warisan menerusi ‘Ngajat Tampi’, raih kemenangan di pentas konsert separuh akhir.
Ranisha Kebal Di Puncak, Adam Nazmie Mengekori Rapat
Bintang muda yang semakin mendapat tempat di hati peminat, Ranisha, mempamerkan taring sebenar apabila berjaya menduduki kedudukan pertama secara keseluruhan. Menyampaikan lagu Ngajat Tampi nyanyian asal Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, kelunakan dan tenaga yang dipamerkan Ranisha nyata memukau juri. Berdasarkan papan markah, persembahan mantap itu melayakkannya meraih markah tertinggi keseluruhan iaitu 88.00%, dengan Akim Ahmad memberikan markah paling cemerlang sebanyak 92.
Mengekori rapat di kedudukan kedua adalah Adam Nazmie dengan markah 87.33% selepas cemerlang membawakan lagu Satu nyanyian asal gandingan legenda, Tan Sri SM Salim dan Dato Zainal Abidin.

Yad-Z memukau dengan ‘Fatwa Pujangga’, berjaya raih kedudukan podium.
Kebangkitan Yad-Z Cipta Kejutan
Malam separuh akhir itu turut menjadi medan kebangkitan Yad-Z yang melakar kejutan tersendiri. Mempertaruhkan kelunakan vokal menerusi lagu Fatwa Pujangga nyanyian asal Dato Aishah, persembahan penuh emosi itu membolehkan Yad-Z melonjak ke tempat ketiga dengan markah keseluruhan 85.67%. Persembahan beliau turut menerima ‘standing ovation’ dari ketiga-tiga juri.
Kedudukan keempat dan kelima carta masing-masing diisi oleh Hussain yang mendendangkan lagu Cindai nyanyian Dato Sri Siti Nurhaliza dengan markah 84.00%, diikuti Danny menerusi lagu Umpan Jinak Di Air Tenang nyanyian Dato’ Ahmad Jais dengan 79.00%.
Peserta Danial Kifli pula berjaya meloloskan diri di kedudukan keenam (77.33%) selepas menyanyikan lagu Nurlela nyanyian Haziq Rosebi. Tuah nyata berpihak kepadanya apabila menjadi peserta pertama diumumkan berjaya melangkah ke pentas akhir menerusi ‘U Mobile Priority Pass’.

Langkah Aliff Kimiey dan Qilo terhenti, tersingkir di Semi Final Big Stage Rocketfuel.
Perjuangan Aliff Kimiey & Qilo Terhenti
Namun, adat pertandingan pasti ada yang tewas. Nasib kurang baik menimpa Aliff Kimiey dan Qilo apabila perjalanan seni mereka di pentas Big Stage Rocketfuel terpaksa dinoktahkan di peringkat separuh akhir.
Aliff Kimiey yang mempertaruhkan lagu Joget Kelantan nyanyian Datuk Nora Ariffin sekadar meraih 77.00% daripada pihak juri. Sementara itu, Qilo yang menyanyikan lagu Joget Kenangan Manis nyanyian Allahyarham Dato Sudirman Hj Arshad berada di kedudukan paling corot dengan 74.00%, sekali gus menguburkan impiannya untuk bersaing di pentas akhir.

Kumpulan PULZE berjaya peroleh undian 2-1 sekaligus diumum pemenang pusingan Battle minggu ini.
Pusingan ‘Battle’ Panaskan Pentas
Selain persembahan solo yang mendebarkan, konsert minggu ketujuh ini turut disajikan dengan pusingan ‘Battle’ yang menghangatkan lagi suasana dewan. Kumpulan PULZE yang dibarisi oleh Hussain, Adam Nazmie, Danial Kifli, dan Qilo tampil bertenaga membawakan lagu Monalisa dendangan kumpulan Alpha.
Manakala, persaingan terus memuncak apabila kumpulan BEATZ yang dianggotai oleh Ranisha, Yad-Z, Aliff Kimiey, dan Danny menyahut cabaran membawakan lagu Fanatik dendangan kumpulan rap tersohor, KRU. Minggu ini kemenangan berpihak kepada Kumpulan PULZE apabila persembahan hebat mereka mendapat undian 2-1 dari meja juri.
Persaingan kini semakin memuncak. Mampukah Ranisha mengekalkan momentumnya, atau adakah pencabar lain bakal mencipta kejutan? Siapa yang akan muncul sebagai juara Big Stage Rocketfuel musim ini akan terjawab pada konsert akhir yang bakal berlangsung minggu hadapan.
