Langkah Kanan Hussain Di Pentas Big Stage, Qilo Ungguli Tema ‘Signature Wave’!
- oleh Editor MYBUZZ
- 29 Jun 2026 5:08 pm
KUALA LUMPUR: Pentas saingan rancangan realiti kegemaran ramai, Big Stage Rocketfuel kini rasmi membuka tirainya bagi Konsert Minggu 1 dengan penuh debaran dan kejutan luar biasa!
Gimik dan tanda tanya terbesar yang menyelubungi peminat mengenai siapakah peserta misteri Talk To My Manager (TTMM) yang berjaya meloloskan diri menerusi undian penonton akhirnya terjawab secara rasmi apabila nama Hussain diumumkan sebagai bintang yang melengkapkan barisan persaingan musim ini.

Program Big Stage Rocketfuel membariskan Hael Husaini, Aisha Retno dan Akim Ahmad sebagai juri tetap.
Kemunculan Hussain nyata bukan sekadar pelengkap senarai peserta musim ini apabila dia berjaya membuktikan kredibiliti vokalnya di hadapan barisan juri tetap yang dibarisi oleh Hael Husaini, Aisha Retno, dan Akim Ahmad.
Menerusi pemarkahan rasmi, Hussain berjaya melunaskan persembahan sulungnya dengan cemerlang apabila menduduki tangga keempat dengan kutipan markah sebanyak 79.67%. Dia menerima 81 markah daripada Hael, 85 markah daripada Aisha, dan 73 markah daripada Akim.

Qilo selesa meletakkan ‘benchmark’ tinggi dalam persembahan konsert minggu pertama Big Stage Rocketfuel dengan kutipan markah individu tertinggi sebanyak 90 markah dari juri Aisha Retno.
Konsert pembukaan yang mengangkat tema Signature Wave—iaitu tugasan lagu yang melambangkan identiti muzik masing-masing—menyaksikan persaingan sengit antara 11 peserta berbakat. Bagaimanapun, pentas minggu pertama ini mutlak menjadi milik bintang muda, Qilo, selepas menyampaikan lagu bertaraf antarabangsa, If I Ain’t Got You nyanyian asal Alicia Keys.
Persembahan bertenaga gergasi daripada Qilo itu berjaya memikat hati para juri terutamanya Aisha Retno yang menghadiahkan markah tertinggi iaitu 90. Secara keseluruhan, Qilo selesa menduduki takhta juara mingguan dengan jumlah peratusan sebanyak 85.00%.

Bekas peserta TTMM, Azeva digandingkan bersama pengacara popular Nabil Ahmad sebagai hos Big Stage Rocketfuel musim ini
Mengekor rapat di kedudukan kedua ialah Yad-Z yang mempertaruhkan lagu Bukan Dia Tapi Aku (Judika) dengan meraih 82.00%, manakala tempat ketiga disambar oleh Ranisha yang mengumpul 81.00% menerusi lagu Bukan Lagi Kita (Nadeera).
Dalam pada itu, nasib kurang menyebelahi penyanyi Rieffa, duo Adam & Nazmie, Danial Kifli, Danny, Aliff Kimiey, dan Sabrina apabila masing-masing sekadar berpuas hati berada di kedudukan pertengahan carta.

Alif Kimiey, Sabrina dan Sufie Rose tidak bernasib baik apabila berada di kedudukan ‘Bottom 3’ konsert minggu pertama Big Stage Rocketfuel yang berlansung di Auditorium MBSA Shah Alam malam semalam.
Kekecewaan paling besar malam itu bagaimanapun terpaksa ditelan oleh peserta Sufie Rose yang menyampaikan lagu Pulang (Insomniacks). Akibat gagal memberikan impak maksima pada malam pembukaan, Sufie Rose terpaksa akur berada di tangga tercorot dan menghuni kedudukan paling bahaya dengan jumlah markah keseluruhan sekadar 59.33%. Walaubagaimanapun Sufie Rose dan kesemua peserta lain akan mara ke konsert minggu hadapan kerana tiada penyingkiran diumumkan semalam.
Berikut merupakan keputusan penuh konsert Big Stage Rocketfuel Minggu 1:

Carta ‘scoreboard’ dan kedudukan peserta Konsert Minggu 1 Big Stage Rocketfuel
Adakah Hussain mampu mengekalkan momentum kejutan ini untuk terus melonjak ke kedudukan tiga teratas pada minggu hadapan, dan mampukah Sufie Rose bangkit daripada mimpi ngeri minggu pertama? Sama-sama kita nantikan persaingan yang semakin membara di pentas Big Stage Rocketfuel!
